X

Kindly register in order to view this article
!

Jadual waktu PdP dalam talian perlu dipraktik secara anjal

Mahdzir Khalid
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mencadangkan agar jadual waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian dipraktikkan secara anjal mengikut tahap murid.

Beliau berkata, saranan itu bagi mengatasi masalah ibu bapa yang memiliki anak yang ramai tetapi kekurangan peranti elektronik.

“Dengan cara jadual waktu anjal itu, anak-anak boleh menggunakan gadget (peranti elektronik) bukan secara serentak.

“Guru juga perlu menyediakan modul standard kaedah pengajaran dalam talian selain pembelajaran dalam talian yang bukan 'real time' seperti menggunakan Google Classroom dan aplikasi Telegram,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, aspek ‘Kemenjadian Murid’ menjadi satu elemen penting dalam apa jua kaedah PdP sama ada secara bersemuka di sekolah atau dalam talian.

Menurutnya, sektor pendidikan mempunyai pemegang taruh yang amat besar membabitkan jumlah sekolah, guru, murid dan juga ibu bapa yang mempunyai kepentingan di dalamnya.

“Bagi ibu bapa pula, pendidikan anak-anak tentunya merupakan pelaburan untuk masa depan. Penting juga untuk ibu bapa mengambil sikap tidak lepas tangan di rumah dengan turut sama memikul tanggungjawab menjadi 'pembantu guru' untuk pembelajaran anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata, ketiadaan peranti dan jaringan internet yang sempurna di kawasan luar bandar adalah antara cabaran utama bagi menjalankan kaedah PdP dalam talian.

Beliau berkata, penyelesaian masalah capaian internet di luar bandar seharusnya diambil secara tanggungjawab bersama oleh pihak kerajaan dan syarikat pengendali telekomunikasi yang boleh dicapai secara menang-menang.

“Satu kenyataan yang agak pahit untuk ditelan sebenarnya untuk kita akui bahawa capaian internet di luar bandar amat menyedihkan sehingga ada pihak yang teruk mengecam dan dikecam apabila berlaku kejadian seorang pelajar universiti terpaksa mendirikan khemah di atas bukit di dalam hutan dan memanjat pokok untuk mendapatkan rangkaian internet.

“Kita jangan malu untuk melihat bagaimana negara lain seperti Indonesia, Nepal dan Vietnam melebarkan jalur rangkaian internet mereka hingga ke kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata antara cabaran lain ialah persekitaran hidup murid yang kurang kondusif, penguasaan kemahiran guru terhadap pedagogi digital, mentaliti murid, ibu bapa dan guru dan tahap keberkesanan penyampaian PdP tersebut. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!