X

Kindly register in order to view this article
!

Empat ah long ditahan kerana ugut pekerja swasta

Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A

PETALING JAYA - Empat lelaki disyaki sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long ditahan selepas mengugut untuk memukul seorang pekerja swasta yang membuat pinjaman sejak tahun 2012.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pekerja swasta berusia 31 tahun itu mendakwa telah diugut supaya membayar baki pembayaran sebanyak RM8,000 mengikut masa yang ditetapkan.

"Suspek bertindak mengugut untuk memukul mangsa sekiranya dia gagal membuat bayaran seperti yang diminta," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati mangsa membuat pinjaman peribadi daripada sebuah syarikat pinjaman berjumlah RM500 pada tahun 2012.

"Mangsa dikehendaki membuat bayaran balik sebanyak RM1,150 sebulan selama setahun," katanya.

Beliau berkata, lelaki itu telah membatalkan penggunaan kad pengeluaran tunai (ATM) yang dipegang oleh syarikat tersebut kerana dipercayai bayaran yang dibuat telah melebihi daripada pinjaman pada April 2013.

"Bagaimanapun, lelaki itu sekali lagi telah membuat pinjaman peribadi melalui laman sosial pada Disember 2016.

"Dia sangkakan pinjaman yang dibuat itu adalah melalui sebuah koperasi kerana setelah mangsa mengisi maklumat yang diminta, seorang ejen pemasaran telah menghubunginya untuk berbincang berkenaan pinjaman," katanya.

Nik Ezanee berkata, ejen tersebut telah datang bersama dua lagi rakannya yang lain berjumpa dengan mangsa di tempat yang dijanjikan sebelum membawanya ke syarikat di mana mangsa pernah membuat pinjaman pada tahun 2012.

"Mangsa dimaklumkan masih mempunyai hutang yang belum diselesaikan iaitu sebanyak RM8,000," katanya.

Beliau berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan empat lelaki berusia 26 hingga 28 tahun di salah sebuah sekatan jalan raya di sini pada Jumaat.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati salah seorang daripada empat suspek tersebut dikehendaki bersabit kes ah long," katanya.

Nik Ezanee berkata, salah seorang suspek ditahan reman selama empat hari, manakala rakan suspek yang lain telah direman selama tiga tiga hari.

"Kes disiasat di bawah seksyen 5(2) akta pemberi pinjaman wang berlesen 1952," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!