X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar akan kaji pelaksanaan GST jika jadi PM

Anwar Ibrahim
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa beliau akan mengkaji semula pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya menjadi perdana menteri.

Katanya, walaupun dikenakan GST, tetapi ada pengecualian dan syarat-syarat yang lebih ketat.

“Tak boleh GST seperti mana ia diperkenalkan kerana walaupun kita kata pendapatan negara itu bertambah, tapi ia mendera rakyat miskin,” katanya dalam Program Bicara Negarawan bertajuk ‘Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita?’ anjuran Majlis Profesor Negara (MPN).

Program berkenaan disiarkan secara langsung menerusi Facebook MPN pada Sabtu dan ia dikendalikan oleh Felo MPN, Dr Muhammad Asri Mohd Ali sebagai moderator. Turut sama dalam bicara berkenaan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose.

GST mula dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus.

Bagaimanapun, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, cukai berkenaan dimansuhkan dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Mengulas lanjut, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, GST boleh dilaksanakan sebaik keadaan ekonomi dipacu dengan lebih meyakinkan dan pendapatan rakyat meningkat.

“(Saya) tidak fikir ia boleh dilaksanakan dalam keadaan segera,” katanya.

Anwar mendedahkan bahawa GST pada mulanya dicadangkan oleh beliau semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan.

“Saya kaji pengalaman Kanada dan New Zealand yang menjalankannya dengan baik. Tetapi pada masa itu saya menangguhkannya.

“Mengapa saya mengambil keputusan menangguhkannya pada ketika itu? Kerana pendapatan (rakyat) terlalu rendah,” jelasnya.

Anwar berkata, sekiranya pendapatan rakyat minima RM3,000, GST boleh diperkenalkan pada ketika itu.

“Tapi pada masa itu, kita belum bersedia disebabkan (pendapatan) itu semata-mata. Saya kata kalau bagi lima hingga enam tahun lagi (bila) ekonomi dah meningkat dan gaji minima meningkat kita boleh (laksanakan GST),” katanya.

Anwar turut mengakui bahawa sistem pelaksanaan GST adalah telus tetapi kesannya akan lebih dirasai oleh masyarakat desa iaitu Melayu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!