Ketua Armada Bersatu Melaka keluar parti, sertai Wawasan

MELAKA - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka, Muhammad Jefri Safri umum keluar parti untuk menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Beliau menyerahkan borang keahlian wawasan kepada Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika Program Lenggang Warisan Melaka 2026 anjuran Persatuan Sosialis Wanita Melaka (MeSWA) bersama Wanita Wawasan Melaka di Muzium Hang Tuah, Duyong pada Ahad.
Jefri yang juga Ketua Bahagian Bersatu Jasin berkata, keputusan dibuat kerana sudah tidak sehaluan dengan hala tuju politik selain kecewa dengan kepimpinan pusat Bersatu.
“Kekecewaan saya apabila tiada pimpinan daripada pusat yang datang ke Jasin menjenguk kami, ibarat kami tidak dihargai di Jasin.
“Saya bertungkus-lumus setiap hari membuat kerja, bertemu rakyat, bertemu masyarakat, menyusun jentera dan sebagainya,” katanya.
Mengulas kedudukan Bersatu Bahagian Jasin, beliau menegaskan bahagian berkenaan tidak terbubar kerana kepimpinan sedia ada boleh meneruskan perjuangan parti.
Beliau turut menjangkakan lebih ramai pemimpin Bersatu di Melaka akan mengikut langkahnya, termasuk beberapa timbalan ketua bahagian.
“Penyertaan bersama kumpulan anggota Armada Bahagian Jasin diharap dapat memperkukuh jentera PN di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Dijangka 80 hingga 90 anggota Armada Bahagian Jasin juga akan menyertai PN,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin mengalu-alukan penyertaan Muhammad Jefri dilihat sebagai perkembangan positif untuk mengukuhkan Wawasan di Melaka.
Saifuddin berkata, Wawasan kini mempunyai 175 bahagian dengan jumlah keahlian semakin meningkat sekali gus memperkukuh jentera parti menjelang PRN Melaka akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

