Sistem kawalan automatik didakwa punca nahas Sriwijaya Air

Pasukan mencari dan menyelamat menemui serpihan pesawat dipercayai enjin pesawat jenis Boeing 737-500. Serpihan ditemui pada kedalaman 23 meter di Laut Jawa. - Foto Reuters
Pasukan mencari dan menyelamat menemui serpihan pesawat dipercayai enjin pesawat jenis Boeing 737-500. Serpihan ditemui pada kedalaman 23 meter di Laut Jawa. - Foto Reuters
A
A
A

JAKARTA - Penyiasat insiden nahas udara Indonesia mendakwa kemungkinan masalah pada sistem kawalan kuasa automatik (autothrottle) yang mengawal kuasa enjin menjadi punca nahas Sriwijaya Air.

Nahas yang berlaku pada 9 Januari itu mengorbankan 62 orang.

Menerusi laporan Reuters, Penyiasat Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) Nurchayo Utomo berkata, masalah pada sistem automatik Boeing 737-500 itu telah dilaporkan selepas penerbangan beberapa hari sebelum tragedi itu.

"Terdapat laporan kerosakan pada autothrottle beberapa hari lalu kepada juruteknik pada log penyelenggaraan tetapi kami tidak tahu jenis masalah.

"Sekiranya kami temui CVR (alat perakam suara kokpit), kami dapat mendengar perbincangan antara juruterbang, apa yang mereka katakan dan kami akan tahu masalahnya.

"Setakat ini masih belum jelas sama ada masalah sistem kawalan kuasa automatik itu menyumbang kepada kemalangan tersebut," kata Utomo sambil menambah bahawa beliau tidak ingat sama ada terdapat masalah lain yang dibangkitkan dalam log penyenggaraan itu.

Tambahnya, sesebuah pesawat masih layak terbang walaupun sistem kawalan kuasa automatiknya tidak berfungsi dengan baik kerana juruterbang boleh mengawal pesawat secara manual.

Syarikat Sriwijaya bagaimanapun enggan mengulas isu teknikal membabitkan siasatan berkenaan sebelum kenyataan rasmi dibuat oleh KNKT.

Artikel Berkaitan:

Laporan awal dijangka dikeluarkan dalam 30 hari selepas kemalangan sejajar dengan piawaian standard antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Hasil siasatan awal nahas Sriwijaya Air diumum Februari ini

SJ182 tidak hantar isyarat kecemasan

Pesawat Sriwijaya Air tidak meletup di udara