'Siasatan SPRM bakal bersihkan Pas daripada tuduhan'

No Image Caption
A
A
A
SHAH ALAM - Ketelusan Pas dan kepimpinan memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan dana RM90 bakal membersihkan parti itu daripada dakwaan yang dibuat pelbagai pihak sebelum ini.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, rakyat khususnya ahli Pas pada masa ini semakin yakin dengan strategi pimpinan parti yang mahu menyelesaikan isu tersebut dalam negara.

"Berdasarkan situasi semasa, saya lihat ahli semakin yakin dengan kepimpinan. Pada awalnya kita agak terkesan dengan penyelesaian luar mahkamah dalam kes saman Sarawak Report tetapi yakin siasatan ini akan membuktikan bahawa Pas tidak menerima wang tersebut.

"Sebelum ini ramai tidak tahu strategi pimpinan yang mahu selesaikan kes ini dalam negara. Umum mengetahui kita berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan prosiding mahkamah di luar negara," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM siasat kes Pas terima dana RM90 juta

ARTIKEL BERKAITAN: Dana RM90 juta: Nik Abduh, Husam, Nasharudin dipanggil SPRM

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menyelesaikan kes saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di luar mahkamah dan Clare turut menarik balik Tuntutan Balas terhadap Ahli Parlimen Marang itu.

Susulan daripada perkembangan itu, Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan pihaknya memulakan siasatan berhubung kes dana RM90 juta yang diterima Pas.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Dewan Negara, Datuk Husam Musa, dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

Artikel Berkaitan:

Mereka ialah antara empat individu disenarai awal oleh SPRM sebagai saksi penting bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemimpin PAS menerima RM90 juta dikatakan daripada 1MDB

Namun, Husam tidak hadir untuk memberi keterangan dan menegaskan beliau tidak pernah dipanggil SPRM.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, ahli Pas kini semakin tenang berbanding ketika Abdul Hadi mengambil keputusan menyelesaikan kes saman di luar mahkamah.

"Insya-ALLAH keyakinan ahli semakin kukuh kerana telah melihat usaha kepimpinan yang mahu membersihkan parti," katanya.