Kelas komuniti solusi kepada isu PdPR

Panduan PdPR KPM menggariskan kira-kira 3 jam sehari bagi sekolah menengah manakala satu hingga dua jam bagi sekolah rendah.
Panduan PdPR KPM menggariskan kira-kira 3 jam sehari bagi sekolah menengah manakala satu hingga dua jam bagi sekolah rendah.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan kelas skala kecil atau secara komuniti dalam kalangan ibu bapa dilihat sebagai antara solusi kepada isu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang menjadi kerisauan kepada mereka.

Menurut ahli Akademi Profesor Malaysia (Kluster Pendidikan), Profesor Dr Fatin Aliah Phang, dengan adanya kelas secara komuniti pelajar daripada golongan B40 ini mampu melaksanakan PdPR dengan lebih kondusif dan efektif.

“Sebagai contoh mereka yang duduk di kawasan pangsapuri atau kampung mungkin boleh menggunakan dewan yang ada untuk mewujudkan kelas komuniti. Mungkin mereka boleh menggunakan skrin besar bagi mengikuti PdPR namun mengikut SOP yang ditetapkan.

“Dengan cara ini ibu bapa yang kurang berkemampuan atau mungkin yang mempunyai anak yang ramai tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak bagi membeli gajet,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, sekolah juga disaran melaksanakan jadual secara berpusat bagi mengelakkan pertindihan jadual antara pelajar yang akan membebankan keluarga mereka.

“Panduan PdPR KPM menggariskan kira-kira 3 jam sehari bagi sekolah menengah manakala satu hingga dua jam bagi sekolah rendah.

“Mungkin sekolah boleh mengatur kembali jadual supaya tiada pertindihan yang dapat memberi manfaat kepada golongan keluarga yang mempunyai anak ramai dan masih bersekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Fatin turut menyeru ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan PdPR dapat berjalan dengan lancar dan tidak bergantung sepenuhnya kepada guru.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ibu bapa juga harus belajar cara mengendalikan PdPR bersama anak mereka supaya proses pembelajaran lebih efektif.