PdPR opsyen terbaik pada norma baharu

Pembelajaran secara dalam talian menjadi normal baharu sesi persekolahan tahun ini.
Pembelajaran secara dalam talian menjadi normal baharu sesi persekolahan tahun ini.
A
A
A

PELAKSANAAN Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sesi persekolahan bermula pada Rabu lalu ternyata mempunyai cabarannya yang tersendiri.

Mengendalikan lebih empat juta pelajar sekolah rendah dah menengah menerusi ‘kelas’ norma baharu bukanlah mudah. Bayangkan jika dahulu telefon adalah gajet yang dilarang di sekolah, tapi hari ini telefon pintar, laptop dan i-Pad menjadi adalah ‘sekolah’ baharu generasi kini.

Sejak dua hari lalu, bukan sedikit rungutan yang mula kedengaran baik daripada kalangan ibu bapa bahkan pelajar dan guru sendiri. Capaian internet merupakan isu paling besar dihadapi guru dan pelajar terutamanya di kawasan pedalaman.

Itu belum dikira dari segi kemampuan, apabila ada ibu bapa yang mempunyai empat orang perlu menyediakan empat telefon pintar atau laptop untuk setiap anak.

Tidak ketinggalan antara isu lain termasuklah fokus pelajar di dalam kelas, kekeliruan komunikasi guru dengan ibu bapa, persekitaran rumah kurang kondusif selain di lema ibu bapa bekerja yang tidak dapat memantau anak-anak di rumah.

Namun, di saat pandemik Covid-19 masih menjadi ancaman utama kepada keselamatan dan nyawa rakyat, suka atau tidak, PdPR perlu tetap berjalan dan semua pihak perlu mencari jalan terbaik untuk menjayakannya.

Pendek kata setahun bulan madu pelajar tahun lalu sudah pun berakhir dan kini mereka perlu kembali mengadap buku walaupun pembelajaran dan arahan yang diterima secara maya.

Bagi mantan Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, sejak kemunculan pandemik Covid-19 lebih setahun lalu di negara ini, banyak aspek kehidupan berubah dan rakyat terpaksa mengamalkan norma baharu.

“Dalam bidang pendidikan, para pelajar tidak dapat menghadiri persekolahan seperti biasa namun sesi pengajaran dan pembelajaran harus terus berjalan. Saya yakin, selama tidak menghadiri sesi persekolahan bukan bermakna para pelajar tidak belajar langsung kerana pembelajaran dapat diakses menerusi pelbagai cara antaranya membaca buku, membuat latihan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Namun situasi Covid-19 yang menghalang para pelajar ke sekolah menyebabkan mereka kini terpaksa menyesuaikan diri dengan home based learning terutama menerusi kaedah pembelajaran dalam talian,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Berhubung kaedah PdPR yang memberi kesulitan, Alimuddin berkata, segala kesulitan tersebut merupakan satu kelaziman apabila terpaksa berdepan dengan sesuatu pendekatan yang baharu.

“Walaupun timbul masalah di sana sini, secara keseluruhannya ia telah berjalan dengan lancar. Ia menjadi tanggungjawab kita semua untuk membetulkan kekurangan tersebut dan memastikan anak-anak yang bersekolah ini mendapat pengalaman belajar yang terbaik,” katanya.

Memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan dari tahun 2007 hingga tahun 2010, Alimuddin turut menegaskan, selagi sesi pembelajaran bersemuka tidak dapat dijalankan, maka PdPR adalah solusi berkesan dan sesuai bagi menggantikan pertemuan fizikal dengan guru-guru di dalam kelas.

Sementara itu, Profesor Emeritus Datuk Isahak Haron dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya berpendapat, PdPR boleh terlaksana dengan baik sekiranya para pelajar dapat mengakses bahan pembelajaran dengan lebih mudah.

Menurutnya, kaedah PdPR paling praktikal yang boleh diusahakan pada ketika ini adalah sistem televisyen (TV) pendidikan.

“TV pendidikan boleh diakses oleh lebih ramai pelajar kerana peratusan mempunyai televisyen di rumah adalah tinggi berbanding gajet seperti komputer riba yang mungkin hanya dimiliki golongan lebih berkemampuan,” katanya.

Tambah beliau, melalui TV pendidikan juga satu-satu subjek itu boleh diajar dalam pelbagai bentuk persembahan untuk menarik minat para pelajar dan menjadikan mereka lebih fokus dalam menghadapi sesi pembelajaran.

“Kaedah ini praktikal selain lebih kos efektif dan boleh dinikmati oleh pelbagai peringkat pelajar,” katanya.

INFO

Jumlah pelajar sekolah

Peringkat Jumlah

Prasekolah 208,131

Rendah 2,741,837

Menengah 2,037,433

Jumlah 4,987,401

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia (setakat Julai 2020)