Operasi SAR pesawat Sriwijaya Air dihentikan

Presiden Joko Widodo atau Jokowi turut melawat pelabuhan di Jakarta yang menjadi lokasi pengumpulan cebisan tubuh mangsa penumpang dan serpihan pesawat SJ182. - Foto: AFP
Presiden Joko Widodo atau Jokowi turut melawat pelabuhan di Jakarta yang menjadi lokasi pengumpulan cebisan tubuh mangsa penumpang dan serpihan pesawat SJ182. - Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Pemerintah Indonesia pada Khamis memutuskan untuk menghentikan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pesawat Sriwijaya Air, SJ182 yang terhempas di perairan Kepulauan Seribu di utara Jakarta dan mengorbankan kesemua 62 mangsa penumpang pada awal bulan lalu.

Menurut Ketua Pasukan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Bagus Puruhito, operasi bersama beberapa agensi termasuk kementerian dan pasukan tentera disertai kira-kira 4,300 anggota itu dihentikan selepas ia berlangsung selama 13 hari malah ia juga telah dilanjutkan sebelum ini.

Sehingga kini, pasukan penyelam masih gagal menemui kotak hitam kedua SJ182 walaupun pelbagai usaha telah dibuat untuk menjejaki perakam suara kokpit tersebut.

Sejak hampir dua minggu lalu, sebanyak 324 kantung mengandungi cebisan tubuh mangsa penumpang dan serpihan pesawat berjaya ditemui.

Dalam perkembangan berkaitan, penyiasat Indonesia sedang melihat kemungkinan sistem auto-throttle yang berfungsi menghasilkan daya tuju terhadap salah satu enjin pesawat tidak berfungsi telah menyebabkan juruterbang hilang kawalan.

Pihak berkuasa penerbangan Indonesia masih belum mengeluarkan butiran lanjut tentang nahas itu, namun ia merancang untuk mengeluarkan laporan awal dalam tempoh 30 hari. - Agensi

Artikel Berkaitan: