MAFI lancar misi bantuan ke Pahang

MAFI menerusi agensi di bawahnya melancarkan Misi MAFI Prihatin ke empat kawasan Parlimen di Pahang yang terjejas akibat banjir pada Khamis.
MAFI menerusi agensi di bawahnya melancarkan Misi MAFI Prihatin ke empat kawasan Parlimen di Pahang yang terjejas akibat banjir pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi agensi di bawahnya melancarkan Misi MAFI Prihatin ke empat kawasan Parlimen di Pahang yang terjejas akibat banjir.

Pelepasan misi bantuan itu dilakukan Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Wisma Tani, di sini pada Khamis.

Menerusi kenyataannya, MAFI berkata, misi berkenaan membawa makanan, keperluan asas dan barangan peralatan elektrik dan kelengkapan asas untuk kumpulan sasar iaitu petani, penternak dan nelayan yang akan diserahkan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

"Misi Bantuan MAFI Prihatin ini melibatkan penghantaran bantuan ke Lipis, Jerantut, Kuala Krau dan Maran," katanya.

Menurutnya, pada majlis pelepasan itu, Ronald turut menyampaikan replika cek sumbangan daripada Persatuan Kebangsaan Bagi Pengairan dan Saliran Malaysia (MANCID) kepada Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Latif; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan bagi Parlimen Jerantut diterima wakilnya Mahathir Latif.

"Setiap Parlimen menerima sumbangan RM16,125 yang merupakan sumbangan luar yang disalur kepada MANCID untuk bencana banjir," katanya.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Dr Anis Mahmud.

Bantuan Banjir MAFI Prihatin merupakan hasil sumbangan dan tanggungjawab sosial pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Artikel Berkaitan:

Selain produk makanan, turut disampaikan juga tajaan beras oleh pihak Padiberas Nasional Berhad (Bernas).