Misi bantuan gempa bumi Turkiye-Syria kali kelima selesai

Mohd Yusni (kiri) yang mengetuai delegasi misi kelima menunjuk isyarat tangan bagus bagi memberi gambaran usaha mereka kali ini sukses
Mohd Yusni (kiri) yang mengetuai delegasi misi kelima menunjuk isyarat tangan bagus bagi memberi gambaran usaha mereka kali ini sukses
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bencana gempa yang melanda Turkiye & Syria masih meninggalkan kesan yang mendalam terhadap penduduk di wilayah terbabit, terutama mereka yang menjadi mangsa. Kehilangan anggota keluarga, tempat tinggal, harta benda serta terputus sumber pendapatan menambahkan lagi kesulitan untuk meneruskan kehidupan.

Bagi meringankan sedikit penanggungan, atau sekurang kurangnya sebagai tanda keprihatinan, PASRelief bersama 39 NGO menggembleng tenaga bagi membantu mangsa di sana.

Delegasi Aid 4 Turkiye & Syria bersama kanak-kanak yang turut menjadi mangsa gempa bumi berkenaan.
Delegasi Aid 4 Turkiye & Syria bersama kanak-kanak yang turut menjadi mangsa gempa bumi berkenaan.

Menurut Pengerusi Aid 4 Turkiye & Syria, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, setakat ini, sebanyak lima misi kemanusiaan telah disempurnakan dengan yang terbaru pada 3 hingga 7 Jun lalu diketuai Pengarah Aid 4 Turkiye & Syria, Mohd Yusni Mat Piah bersama lapan delegasi serta dua wakil media.

Kata beliau, rentetan dari misi bantuan pertama sehingga ke lima, Aid 4 Turkiye & Syria telah menyumbang sebanyak 36 kontena kepada mangsa-mangsa gempa bumi. Selain itu, bantuan food pack dan food truck turut disediakan.

“Sekretariat Aid4Turkiye&Syria akan berusaha untuk menyalurkan lebih banyak bantuan berbentuk kontena penempatan sebanyak 100 unit.

“Kontena yang dilengkapi perabut asas serta bekalan elektrik dan air bersih ini berharga RM30,000 setiap unit.

“Selain itu, bantuan 10 food truck dengan kos RM100,000 bagi setiap trak adalah termasuk makanan asas, selimut dan pakaian musim sejuk,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohd Yusni menyendukkan kuah dhal kepada salah seorang mangsa gempa bumi.
Mohd Yusni menyendukkan kuah dhal kepada salah seorang mangsa gempa bumi.

Jelas Muhammad Sanusi lagi, Misi ini digerakkan atas dasar keprihatinan juga kemanusiaan, dan ia akan terus dijalankan bagi memenuhi keperluan semasa mangsa gempa bumi.

“Pihak Aid4Turkiye&Syria amat menghargai komitmen serta keprihatinan rakyat Malaysia yang menyumbang melalui sekretariat ini.

“Alhamdulillah misi kelima kali ini, delegasi berjaya masuk ke Idlib dan Halab di Syria,” ujarnya.