Jangan ada terpalit skandal rasuah bola sepak

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

LEBIH 20 tahun lalu, arena sukan Malaysia digemparkan dengan skandal rasuah dalam bola sepak. Seramai lebih 100 pemain dan pegawai pasukan didapati bersalah terlibat dengan skandal tidak bermoral itu.

Jika diimbas kembali, skandal rasuah yang dianggap terbesar dalam sejarah bola sepak Malaysia itu berlaku sekitar tahun 1994 dan 1995. Akibat kesalahan yang dilakukan, ada pemain yang dikenakan hukuman buang daerah.

Malah, berat ada juga pemain yang dikenakan penggantungan seumur hidup daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tanggal 9 Mei 2016 juga pastinya menjadi satu lagi detik penting dalam bola sepak Malaysia. Ia susulan keputusan FAM menamatkan penggantungan terhadap 78 pemain yang terlibat dengan skandal rasuah tersebut.

Kini selepas 25 tahun ‘malapetaka’ itu berlaku, bola sepak Malaysia dilihat semakin bersih. Cerita rasuah atau skandal mengatur perlawanan melibatkan pemain, pegawai mahupun bookie tempatan seakan-akan hilang dari radar.

Harus diakui sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tiada lagi kedengaran isu rasuah bola sepak ‘menghiasi’ media tempatan, baik di kaca televisyen mahupun di dada-dada akhbar termasuk platform media sosial.

Situasi itu dilihat mampu memberi petanda positif kepada arena bola sepak Malaysia. Perlu diingat bahawa antara faktor kejatuhan skuad kebangsaan Malaysia adalah disebabkan skandal rasuah.

Angkara gejala jijik itu, sang Harimau Malaya kehilangan ramai pemain terbaik dan berkualiti. Ini kerana kelompok pemain terbabit dikatakan antara yang terbaik dimiliki Malaysia ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Jadi sekadar nasihat kepada pemain, pegawai mahupun pengadil perlawanan, ambil iktibar dan pengajaran terhadap apa yang telah berlaku lebih 25 tahun lalu. Rasuah ‘pembunuh’ bola sepak Malaysia.

Mungkin sudah sampai masanya pihak berkuasa mengenakan hukuman berat termasuk penjara bagi membendung skandal sama terus berulang menghantui arena bola sepak Malaysia pada masa depan.