Jack Ma muncul pertama kali dalam talian sejak 'hilang' Oktober

Jack Ma - Foto Reuters
Jack Ma - Foto Reuters
A
A
A

BEIJING - Pengasas Alibaba dari China, Jack Ma muncul buat pertama kalinya melalui perjumpaan dalam talian bersama 100 guru pada Rabu selepas dilaporkan lebih dua bulan tidak kelihatan di khalayak ramai sejak Oktober tahun lalu.

Menurut Reuters, Jack Ma dilihat dalam klip video itu bersama guru yang mengajar di luar bandar China tetapi lokasi beliau berada tidak dilaporkan.

Itu merupakan penampilan pertamanya sejak beliau didakwa hilang malah hartawan itu juga gagal muncul dalam episod akhir program realiti televisyen miliknya, Africa's Business Heroes.

Dalam rakaman video itu, Ma menyertai majlis tahunan guru luar bandar dan Alibaba Group juga mengesahkan bahawa Jack Ma menghadiri majlis secara dalam talian.

Dalam video 50 saat itu, Ma dikatakan berpakaian tentera laut, berbicara terus ke kamera dari sebuah bilik berdindingkan marmar kelabu.

Beliau menyatakan para guru yang menerima Anugerah Guru Luar Bandar Jack Ma, pada tahun-tahun sebelumnya akan menghadiri majlis yang dianjurkan oleh Yayasan Jack Ma di bandar Sanya di pinggir pantai China.

"Kita tidak dapat bertemu di Sanya kerana wabak Covid-19.

"Apabila pandemik itu berakhir, kita mesti mencari masa sesuai bertemu di Sanya dan sampai kita bertemu lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Oktober lalu, Ma sepatutnya menjadi hakim program realiti televisyen tetapi digantikan dengan seorang eksekutif Alibaba pada episod final yang berlangsung pada November lalu, lapor Daily Telegraph UK.

Jurucakap Alibaba memaklumkan Ma tidak dapat hadir ke program itu sebagai juri kerana 'berlaku pertindihan jadual', menurut Financial Times.

Difahamkan satu daripada entiti perniagaan Ma, Ant Group kini dalam pemantauan Beijing susulan kenyataan kontroversinya di Shanghai pada 24 Oktober yang mengkritik sistem peraturan China kerana dikatakan menyekat inovasi.

"Sistem kewangan hari ini adalah warisan Zaman Industri (tradisional).

"Kita perlu menyediakan sistem baharu untuk generasi akan datang dan orang muda. Kita perlu mereformasi sistem sedia ada," kata Ma dalam ucapannya ketika itu.

Seminggu selepas itu, IPO Ant Group digantung atas alasan beberapa isu membabitkan persekitaran pengawalseliaan teknologi kewangan.

Ciapan terakhirnya di Twitter ialah pada 10 Oktober tahun lalu.