Cuepacs mahu KKM tubuh pasukan pemantauan bebas

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan pasukan pemantau bebas di setiap negeri.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, dengan adanya pasukan tersebut ia dapat menilai dan mengkaji setiap permasalahan yang berlaku di fasiliti kesihatan.

Tambah beliau, pasukan itu juga dapat menjalankan pemeriksaan dan penilaian risiko terhadap semua fasiliti kesihatan dan membentangkan hasil dapatan kepada pengurusan tertinggi KKM dan juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diselesaikan segera.

“Antara perkara yang akan dinilai oleh pasukan ini termasuklah kecukupan kakitangan di pelbagai peringkat, beban tugas pengendalian kes Covid-19 dan rawatan untuk kes lain serta keadaan fasiliti di tempat berkenaan.

“Selain itu, mereka juga akan menilai pertukaran kerja shif bagi memastikan kakitangan tidak bekerja secara berturut-turut dalam tempoh seminggu.

“Pasukan ini juga akan menilai kelengkapan peralatan termasuklah peralatan pelindungan diri (PPE) dan kenderaan yang baik serta mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Adnan Mat berkata, pihak KKM juga perlu menjaga kebajikan kakitangan.

Menurutnya, pihak KKM bukan sahaja perlu menumpukan kesihatan rakyat, namun kesihatan kakitangan bertugas juga perlu diutamakan.

Artikel Berkaitan:

“Jika kakitangan sendiri sakit, tidak sihat atau tertekan bagaimana untuk mereka merawat pesakit dengan sempurna.

“Setiap luahan atau aduan yang disampaikan secara berulang kali daripada kakitangan perlu diambil tindakan pantas dan positif.

“Pihak kami tidak mahu kakitangan yang membangkitkan permasalahan diberi nasihat untuk tidak mengulangi tindakan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk pihak atasan mengambil serius pandangan yang disuarakan oleh kesatuan atau wakil kakitangan kerana hal kebajikan petugas barisan hadapan bukanlah satu perkara yang boleh dipandang sebelah mata.

Katanya, isu-isu berkaitan kekurangan tenaga kerja, kemudahan asas di fasiliti bertugas bukanlah perkara yang boleh dianggap remeh hingga akhirnya lebih banyak kes seperti Dr Ali Noor Hassan yang akan berlaku pada masa akan datang.

“Kepada petugas barisan hadapan terutama di KKM, andalah benteng terakhir dalam menghadapi krisis kesihatan yang agak teruk pada hari ini.

“Kami berharap anda semua terus berusaha dan berjuang dengan bersungguh-sungguh demi memastikan negara kembali pulih daripada pandemik Covid-19,” katanya.