Guna plastik balut lampin anak

Chee Heng memangku Aisyah Naura Arumi ketika menyampaikan sumbangan kepada Mohd Khalil (kanan) dan Yeti Nasem (kiri) di rumah mereka di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada Selasa.
Chee Heng memangku Aisyah Naura Arumi ketika menyampaikan sumbangan kepada Mohd Khalil (kanan) dan Yeti Nasem (kiri) di rumah mereka di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sepasang suami isteri terpaksa menggunakan plastik bagi membalut lampin anak perempuan mereka berusia tiga bulan selepas hilang punca pendapatan.

Mohd Khalil Sallehuddin, 38, berkata, dia yang bekerja sebagai tukang masak sebuah kedai makan berdekatan rumahnya tidak dapat meneruskan pekerjaan apabila operasi perniagaan terbabit ditutup sejak tiga minggu lalu.

Menurutnya, dia dan isterinya, Yeti Nasem, 41, tidak berkemampuan membeli lampin pakai buang untuk kegunaan bayi perempuan mereka, Aisyah Naura Arumi.

"Kami tak ada duit membeli lampin pakai buang, jadi terpaksa guna plastik sejak empat hari untuk membalut lampin sedia ada bagi mengelakkan air kencing anak membasahi tilam," katanya ketika ditemui dalam lawatan bersama aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng yang dikenali dengan gelaran Uncle Kentang di kediamannya di Kampung Bukit Belimbing, di sini pada Selasa.

Mohd Khalil berkata, selain itu, mereka sekeluarga terpaksa menjamah makanan yang ada sahaja termasuk makan mi segera dan nasi berlauk cendawan kering.

Katanya, dia terdetik meminta bantuan daripada Chee Heng selepas melihat laman sosial Facebook aktivis masyarakat itu.

"Saya hantar WhatsApp kepada beliau (Chee Heng) dengan memberitahu masalah yang kami hadapi dan meminta sumbangan seperti lampin pakai buang dan makanan asas.

"Pada mulanya saya segan apabila beliau mahu memuat naik kisah saya di Facebook miliknya, tapi tidak sangka pula tular hingga ramai yang menzahirkan rasa simpati dengan nasib bayi perempuan kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khalil berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang memberi sumbangan selain berharap kehidupan mereka menjadi lebih baik pada masa depan.

Katanya, dia yang belum mendapat pekerjaan baharu bimbang dengan keadaan isteri dan anak selain tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak.

Sementara itu, Chee Heng berkata, pihaknya memberi sumbangan sebuah motosikal, wang tunai dan barangan keperluan bagi meringankan beban Mohd Khalil sekeluarga.

"Selepas memuat naik kisah pasangan itu di Facebook, kami menerima banyak sumbangan daripada orang ramai merangkumi pelbagai bangsa.

"Malah, saya berharap motosikal diberikan ini dapat digunakan untuk mencari pekerjaan dan dalam masa sama memulakan kehidupan baharu," katanya.