JDT bangkit perbaiki permainan

No Image Caption
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa akui pasukannya tidak bermain dengan baik pada separuh masa pertama ketika menentang Kuala Lumpur, malam tadi.

Bagaimanapuan JDT bangkit dalam separuh masa kedua dan memperbaiki beberapa kesilapan yang telah dilakukan serta bermain dengan lebih baik.

"Kami juga melakukan serangan demi serangan sehingga berjaya mencipta empat gol.

"Tapi, kami tetap perlu memperbaiki kesilapan dan bekerja dengan lebih gigih untuk perlawanan akan datang," katanya selepas perlawanan tersebut, malam tadi.

Figueroa berkata, JDT sedar pertemuan dengan Kuala Lumpur akan menjadi satu perlawanan yang sukar.

"Oleh kerana itu kami perlu bekerja keras kerana kebanyakan pasukan akan bermain seperti itu iaitu ‘sit back’ dan menyerang," katanya.

Selain itu, Pengurus & Ketua Jurulatih JDT itu turut mengakui Safawi Rasid telah menunjukkan begitu banyak peningkatan.

"Beliau juga cuba menjaringkan gol namun tidak berjaya, Walaubagaimanapun saya merasakan beliau bermain dengan baik di separuh masa kedua.

Artikel Berkaitan:

"Saya berasa gembira kerana apabila kami melakukan kesilapan, kami berusaha memperbaiki kesilapan tersebut sehingga semua berjalan dengan baik," katanya.

Beliau juga mengakui pemain tempatan dalam skuad JDT kini berada dalam keadaan yang terbaik.

"Saya telah memperkatakan mengenai perkara ini kepada anda bahawa mereka telah melalui kempen pramusim dengan baik.

"Kesemua pemain tidak kira tempatan mahupun import telah melakukan yang terbaik. Mereka membuktikan bahawa semua pemain boleh bermain dan boleh melakukan yang terbaik," katanya.

Semalam, JDT menewaskan Kuala Lumpur 4-1 di laman sendiri, hasil jaringan Gonzalo Cabrera, Syafiq Ahmad, Diogo Luis Santo dan Azrif Nashrulhaq.

Manakala gol saguhati Kuala Lumpur dijaringkan oleh Sylvano Dominique Comvalius.