Suhakam gesa kaji SOP, tingkat fasiliti di lokap

Laporan Sinar Harian pada 16 Januari lalu.
Laporan Sinar Harian pada 16 Januari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa polis mengkaji semula semua garis panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi lokap dan mempertingkatkan fasilitinya susulan dakwaan kes rogol seorang tahanan remaja berusia 16 tahun di sebuah lokap balai polis di Sarawak.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, tindakan serius untuk menangani perkara tersebut perlu dilakukan termasuk mengkaji SOP bagi lokap dan mempertingkatkan fasiliti seperti kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan hak kanak-kanak dilindungi.

Menurutnya, kes tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap kurangnya pelaksanaan dan mekanisme perlindungan oleh kerajaan untuk melindungi kanak-kanak, termasuk kanak-kanak dalam tahanan.

“Suhakam kecewa dengan berita membabitkan remaja perempuan berusia 16 tahun yang mendakwa dirogol oleh seorang tahanan lelaki di salah sebuah lokap balai polis di Sarawak.

“Pesuruhjaya Kanak-Kanak juga ingin menekankan bahawa Malaysia, sebagai sebuah Negara Pihak bagi Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), mempunyai kewajipan untuk melaksanakan tindakan yang diperlukan bagi melindungi hak kanak-kanak.

“Menurut Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak ditakrifkan sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang mendakwa dirogol tahanan lain ketika berada di dalam lokap Balai Polis Pusat Miri pada 9 Januari lalu.

Noor Aziah berkata, isu konflik antara kanak-kanak dan undang-undang juga lazimnya didapati cenderung untuk dilupakan walhal secara hakikatnya kanak-kanak merupakan mangsa dan disebabkan itu, penjagaan asas untuk melindungi mereka amat diperlukan.

Artikel Berkaitan:

“Saya difahamkan bahawa kes ini sedang dalam siasatan, saya berpendapat bahawa pihak polis hendaklah mengambil tindakan serius dan segera untuk menangani perkara tersebut termasuk mengkaji semula semua garis panduan (SOP) bagi lokap dan mempertingkatkan fasilitinya seperti kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan hak kanak-kanak dilindungi.

“Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) akan terus membuat pemantauan susulan terhadap isu ini dan akan memanjangkan cadangan yang sesuai dalam memastikan hak serta keselamatan kanak-kanak dilindungi,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis percaya kejadian rogol dalam lokap, tapi tiada rakaman CCTV

Polis siasat dakwaan remaja perempuan dirogol dalam lokap