Niosh siasat punca letupan di Tanjung Langsat

Dalam letupan di sebuah kilang di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor pada Sabtu, seorang pekerja maut manakala dua lagi cedera.
Dalam letupan di sebuah kilang di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor pada Sabtu, seorang pekerja maut manakala dua lagi cedera.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) berharap siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian letupan di sebuah kilang memproses produk kelapa sawit di Tanjung Langsat, Pasir Gudang di Johor, Sabtu lalu.

Niosh dalam kenyataannya pada Isnin memaklumkan pihaknya memandang berat kemalangan yang berlaku sehingga mengakibatkan seorang jurukimpal maut dan dua lagi pekerja cedera.

"NIOSH menyeru agar pihak majikan khususnya industri yang berisiko tinggi sentiasa mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja.

"Tempat kerja yang melibatkan penggunaan mesin, jentera berat dan bahan mudah terbakar memerlukan pengurusan dan pengawalan yang teliti," kata kenyataan itu.

Menurut Niosh, pekerjaan yang melibatkan hot work seperti kimpalan, pengisaran atau blasting yang berhampiran dengan bahan-bahan mudah terbakar dan meletup boleh mengakibatkan bencana yang boleh membawa maut.

Katanya, prosedur kerja selamat, penyeliaan dan tingkah laku pekerja adalah antara perkara yang perlu dititikberatkan semasa bekerja.

Dalam insiden yang berlaku pada petang Sabtu itu, tiga lelaki warga tempatan iaitu jurukimpal, Wilson Banggau, 45, maut sementara dua lagi Bonsi Buli, 42, dan Muhamad Syafiq Abdul Rahman, 23, cedera.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor memberitahu, mangsa yang terbunuh sedang membuat kerja-kerja pengimpalan di sebuah tangki yang menyimpan kira-kira 800 tan metrik crude glycerin dan letupan dipercayai akibat tindak balas api kimpalan dan gas di dalam tangki berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Niosh menyatakan kerja-kerja kimpalan berhampiran crude glycerine adalah sangat berbahaya kerana ia bersifat mudah terbakar jika terdapat kehadiran api.

Merujuk kepada Safety Data Sheet (SDS), pengendalian dan penyimpanan crude glycerine perlu dilakukan di tempat yang mempunyai pengudaraan yang baik dan suhu panas dan sejuk yang melampau perlu dielakkan serta perlu dijauhkan daripada sebarang sumber api dan bahan pengoksidaan.

Niosh bersimpati kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dan berharap agar kejadian seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang. - Bernama