X

Kindly register in order to view this article
!

Sarawak bantu pelajar bayar baki tunggakan PTPTN

Abang Johari
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak akan membantu anak negeri membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tertunggak sebagai mengotakan janji pemberian insentif sebelum ini, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk tujuan itu dan kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak telah mengadakan rundingan dengan PTPTN bagi menentukan kaedah pembayaran balik tunggakan berkenaan.

“Perbincangan itu baharu sahaja selesai dan sudah ada formula bagi kita membantu pelajar Sarawak menyelesaikan tunggakan dengan PTPTN,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan dua buah bas sumbangan kerajaan negeri itu kepada Politeknik Mukah dan Politeknik Metro Betong di perkarangan Wisma Bapa Malaysia, di sini.

Kerajaan Sarawak membelanjakan hampir RM600,000 untuk membeli dua buah bas tersebut yang masing-masing berkapasiti 25 penumpang, bagi kegunaan pelajar dan pelaksanaan aktiviti di kedua-dua politeknik itu.

Menyentuh mengenai bantuan lain kepada pelajar Sarawak, Abang Johari berkata, kerajaan negeri turut membantu dari segi kos tambang balik ke Sarawak ketika musim perayaan bagi pelajar-pelajar Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia.

“Kerajaan Sarawak juga telah mengambil inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma kepada para pelajar, khususnya di bandar raya Kuching untuk meringankan beban perbelanjaan ibu bapa,” katanya.

Berhubung pendidikan prasekolah, beliau berkata Tadika Sedidik yang sebelum ini di bawah kelolaan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah diambil alih oleh kerajaan negeri melalui Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak untuk memastikan pendidikan prasekolah di Sarawak lebih tersusun dan berstruktur. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!