X

Kindly register in order to view this article
!

Hukuman berat kepada penjenayah alam sekitar

Shariffa Sabrina
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mencadangkan agar Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dipinda dengan denda RM10 juta dan hukuman penjara daripada lima kepada 30 tahun.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, cadangan pindaan itu dibuat bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas pelaku jenayah alam sekitar itu.

Menurutnya, cadangan tersebut bagi mengukuhkan peruntukan untuk memenuhi keperluan semasa dan juga penjagaan kelestarian alam sekitar.

“Sebagaimana sedia maklum, Akta 313 sudah lapuk dan tidak dipinda lebih daripada 30 tahun.

“Justeru, wujud keperluan yang mendesak untuk meminda undang-undang tersebut bagi memastikan hutan negara dapat dilindungi selain memastikan pembangunan hutan yang mampan.

“Selain itu, kuasa pihak berkuasa negeri juga sangat luas di bawah peruntukan sedia ada, maka menjadi suatu keperluan untuk meminda dan mengimbangi kuasa pihak berkuasa negeri untuk menjaga kelestarian alam sekitar yang semakin terancam pada masa kini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Air Terjun Tanjung Batu di Segari 'tercabul'

Shariffa Sabrina berkata, selain Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), pihaknya turut mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda selaras dengan kes Tan Teck Seng VS Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan & Ors [1996] 2 CLJ 771 yang menjamin kebebasan diri iaitu termasuk hak untuk hidup secara sihat dan bebas pencemaran.

Beliau berkata, pindaan itu juga memasukkan peruntukkan baharu sebagai usaha kerajaan untuk memastikan setiap negeri supaya bertanggungjawab dalam melindungi, menjaga dan memelihara alam sekitar, perhutanan dan hidupan liar di negara.

Kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari yang terjejas dipercayai akibat kegagalan mengurus kerja penerokaan dan pembersihan hutan.
Kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari yang terjejas dipercayai akibat kegagalan mengurus kerja penerokaan dan pembersihan hutan.

Tegasnya, pindaan kepada perlembagaan itu juga dapat memastikan penguatkuasaan yang lebih efektif di peringkat negeri.

“Cadangan pindaan itu diharap menangani dua isu utama dalam akta yang sedia ada iaitu hukuman atau denda yang sudah lapuk dan tidak relevan buat masa sekarang bagi menghukum pesalah alam sekitar dan mengimbangi kuasa mutlak kerajaan negeri ke atas kawalan terhadap hal berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran hutan.

“Ia perlu untuk diterima bagi menangani isu pembalakan haram yang semakin menjadi-jadi. Hukuman atau denda sedia ada tidak mencukupi bagi mencegah kegiatan pembalakan haram kerana ia terlalu longgar,” katanya.

Justeru katanya, melalui cadangan pindaan itu, dapat menghantar mesej moral kepada rakyat bahawa kesalahan terhadap khazanah alam sekitar merupakan suatu jenayah yang serius dan tidak wajar dipandang mudah.

Peka dan Malaysian Press Institute (MPI) pada 18 Julai 2019 lalu telah menghantar satu memorandum cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Penyerahan memorandum itu dibuat melalui satu perarakan aman ke Parlimen selepas mengadakan beberapa sesi konsultasi bersama rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), pakar alam sekitar dan sebagainya bagi menangani isu-isu yang timbul dari permasalahan pengurusan hutan.

Pada Ahad, akhbar ini melaporkan kerja-kerja membuka laluan kepada projek kuari di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang yang mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri menyebabkan kawasan Air Terjun Tanjung Batu di sini musnah.

ARTIKIEL BERKAITAN: Gagal urus hutan punca kemusnahan air terjun


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!