X

Kindly register in order to view this article
!

Lupakan kesakitan demi ‘tiga nyawa’

Menjual kuih muih menjadi sumber pendapatan Idayu untuk membesarkan tiga anaknya.
A
A

KUALA LUMPUR - Demi kelangsungan hidup bersama anak-anak, seorang ibu tunggal yang menghidap kanser tahap empat menggagahkan dirinya mencari rezeki.

Idayu Mohamad, 44, berniaga secara kecil-kecilan di kawasan rumahnya, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan di sini.

"Kekuatan saya hanya pada anak-anak. Saya bersandar penuh kepada ALLAH SWT untuk terus berdaya mencari rezeki demi kelangsungan hidup bersama 'tiga nyawa' saya walaupun dengan penuh kepayahan dan kesakitan," katanya kepada pemberita, di sini.

Kisah kegigihan Idayu menjadi tular di media sosial baru-baru ini dan mendapat perhatian netizen yang bersimpati dengan nasibnya.

Gambar Idayu di gerainya yang tular di media sosial.
Gambar Idayu di gerainya yang tular di media sosial.

Semangat wanita itu yang tidak berputus asa walaupun diuji dengan penyakit kanser, amat dikagumi.

Dia kini masih dalam proses menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Idayu berkata, perjalanan hidupnya yang merantau dari Johor ke ibu kota tidak mudah apabila pernah terpaksa hidup menumpang setelah gagal dalam rumah tangga.

Katanya, tiga anaknya, Muhammad Akmal Daniel, 19, Nur Syafiqah, 18, dan Muhammad Iman Danish, 10, tidak pernah berpisah dengannya walaupun hidup dalam serba kekurangan.

"Sebelum saya dapat sewa PPR, saya tinggal di kawasan pasar selama setahun. Anak sulung terpaksa berhenti belajar kerana mahu kerja dan tolong saya sara hidup.

Idayu memeluk anak bongsunya, Muhammad Iman Danish.
Idayu memeluk anak bongsunya, Muhammad Iman Danish.

"Saya usahakan untuk dapatkan rumah sewa ini akhirnya dapat sebab saya tiada tempat tinggal. Sejak tinggal di sinilah saya berniaga," katanya.

Lebih menyedihkan, perkahwinan kedua yang disangka dapat menjadi tempat untuk Idayu dan anak-anak bergantung hidup, tidak seperti diharapkan.

"Kami berpisah setelah saya menuntut fasakh. Anak-anak lebih bahagia dengan saya sahaja. Sebab itu saya usahakan untuk cari rezeki tampung hidup.

Idayu membuat persediaan untuk jualan dan tempahan kuih muih yang diterima.
Idayu membuat persediaan untuk jualan dan tempahan kuih muih yang diterima.

"Saya sentiasa pesan pada diri selagi saya kuat dan sihat, saya akan usahakan. Saya percaya ALLAH SWT ada untuk beri rezeki," katanya yang juga penerima bantuan sara hidup bulanan dari Baitulmal.

Idayu yang menjual kuih muih dan nasi lemak kini mula menerima banyak tempahan dari orang ramai sebagai sokongan untuk menjana pendapatannya.

"Pada 13 Februari ini cukup setahun saya berjuang setelah disahkan hanya mampu hidup selama lima tahun.

"Terima kasih kepada kenalan dan orang ramai yang prihatin. Doakan saya sembuh untuk saya berjuang jaga anak-anak sebelum nafas terhenti,"katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Public Islamic Bank 6823561404.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!