Status terkini mata wang digital

A
A
A

BERMULA dengan Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 yang berkuat kuasa pada 15 Januari lalu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission) telah diberikan kuasa untuk meregulasi perkara-perkara berkaitan penawaran dan perdagangan mata wang dan aset digital di Malaysia.

Biarpun Perintah yang digazetkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2012 itu hanya mengklasifikasikan situasi atau transaksi yang dikelaskan sebagai sekuriti, takrifan mengenai transaksi berkaitan mata wang dan aset digital dalam perintah tersebut seolah meliputi hampir semua jenis keadaan.

Selamat jika dikatakan bahawa, secara umumnya, mata wang digital di Malaysia adalah sejenis sekuriti, kecuali dalam beberapa keadaan tertentu.

Biarpun begitu, Bank Negara Malaysia (BNM) masih mempunyai bidang kuasanya yang tersendiri dalam meregulasi perkara berkaitan aset digital. Sebagai contoh, meskipun aspek penawaran dan perdagangan mata wang digital adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Sekuriti, BNM masih bertanggungjawab dalam perihal berkaitan dengan transaksi pembayaran terutamanya apabila transaksi tersebut melibatkan pertukaran mata wang sah (seperti Ringgit dan Dolar) dengan mata wang digital dan sebaliknya.

Pada 31 Januari baru-baru ini, Suruhanjaya Sekuriti telah meminda panduan sedia ada iaitu Guidelines on Recognized Markets dengan memasukkan beberapa perkara berkaitan mata wang digital termasuk bab baharu mengenai Digital Asset Exchanges (Bursa Aset Digital). Pindaan terhadap Guidelines on Recognized Markets ini sudah dijangka sejak awal lagi memandangkan panduan tersebut telah digunakan oleh Suruhanjaya Sekuriti bagi tujuan lain berkaitan dengan teknologi kewangan (fintech).

Secara umumnya, semua syarikat operator atau syarikat yang menjalankan urus niaga berkaitan mata wang atau aset digital yang jatuh di bawah takrifan ‘sekuriti’ seperti yang termaktub dalam perintah tersebut, serta menjalankan urus niaga sebagai Digital Asset Exchange, wajib mendaftarkan diri dengan Suruhanjaya Sekuriti. Semua syarikat ini kemudiannya akan kenali sebagai Recognised Market Operator (RMO).

Dalam mendaftarkan diri sebagai RMO, syarikat-syarikat berkaitan mata wang digital harus memastikan bahawa semua pengarah, ketua eksekutif, pegawai-pegawai pengurusan tertinggi serta pegawai yang menjaga hal ehwal kewangan dan operasi syarikat tidak mempunyai rekod jenayah mahupun rekod tindakan sivil yang diambil ke atas mereka, serta mempunyai pengalaman berkaitan pasaran modal.

Keperluan ini merupakan satu perkara yang agak janggal kerana pegawai-pegawai tertinggi syarikat yang ingin mendaftar sebagai RMO tidak boleh mempunyai sebarang kes sivil ke atas mereka serta harus mempunyai pengalaman menguruskan pasaran modal.

Artikel Berkaitan:

Ini akan menyukarkan proses pendaftaran syarikat-syarikat ini sebagai RMO. Perkataan ‘tindakan civil’ atau civil action dalam kriteria tersebut adalah satu terma yang cukup luas sehinggakan jika seseorang itu diambil tindakan sivil di mahkamah atas perkara-perkara lain yang langsung tiada kaitan dengan perniagaannya, akan terus membuatkan seseorang itu tidak ‘fit and proper’ untuk didaftarkan.

Walau bagaimanapun, pihak syarikat yang mahu mendaftar sebagai RMO sepatutnya tidak mempunyai banyak masalah dalam mendaftarkan pegawai-pegawai atasan mereka kerana kebanyakan daripada mereka sudah lebih awal mendaftarkan diri BNM sebagai institusi pelapor di bawah peraturan anti penggubahan wang haram. Dan kriteria yang ditetapkan oleh BNM tidak terlalu jauh bezanya dengan kriteria yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Mana-mana syarikat yang ingin menjalankan kegiatan atau operasi berkaitan platform aset digital perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti sebelum atau pada 1 Mac 2019. Masa yang diberikan kepada syarikat-syarikat ini dilihat agak singkat kerana hanya tinggal kurang sebulan. Berkemungkinan banyak syarikat akan berhadapan dengan kesukaran untuk mendaftarkan diri sebelum 1 Mac akan datang ini.

Satu lagi permasalahan yang dilihat akan timbul dalam mendaftarkan diri sebagai RMO adalah keperluan untuk pihak syarikat mata wang digital membuktikan kepada Suruhanjaya Sekuriti bahawa model perniagaan mereka adalah jelas dan mampu untuk menyumbang kepada perkembangan pasaran modal.

Selain itu, apa yang lebih menjadi kegusaran dan kerisauan banyak syarikat yang akan menjalankan aktiviti bursa aset digital adalah keperluan untuk syarikat-syarikat ini mempunyai modal berbayar minimum sebanyak RM5 juta.

Sehingga hari ini, banyak syarikat ini merupakan syarikat kecil atau startup. Keperluan untuk mempunyai modal berbayar sehingga RM5 juta mungkin akan menjejaskan operasi kebanyakan syarikat-syarikat kecil ini.

Kurang pasti apa logik utama Suruhanjaya Sekuriti dalam mengenakan modal berbayar minimum ini, biarpun pada asasnya kita tahu pihak suruhanjaya mahu memastikan syarikat yang menjalankan aktiviti bursa ini adalah syarikat yang stabil dan menyakinkan. Namun, modal berbayar minimum RM5 juta itu sebenarnya terlalu tinggi dan ditakuti akan merencatkan pertumbuhan pasaran berkaitan mata wang dan aset digital di Malaysia.

Tidak memeranjatkan jika banyak syarikat startup berkaitan fintech yang lari membuka syarikat masing-masing di luar Malaysia kerana banyak polisi berkaitan startup di negara ini dilihat tidak begitu menyokong perkembangan syarikat-syarikat startup. Akhirnya, negara seperti Singapura yang mendapat nama sedangkan pemiliknya syarikat-syarikat startup ini ramai berwarganegara Malaysia.

Buat masa ini, tiada panduan atau peraturan khas berkaitan dengan initial coin offerings (ICO). Panduan sedia ada yang dibincangkan lebih berfokuskan kepada pendaftaran sebagai RMO dan bursa aset digital. Dijangkakan peraturan yang lebih spesifik berkaitan ICO bakal dikeluarkan akhir Mac ini oleh Suruhanjaya Sekuriti.

*Penulis ialah seorang peguam di Kuala Lumpur