Trump aibkan dirinya sendiri

Trump dikatakan Presiden Amerika Syarikat yang paling teruk dalam sejarah negara itu.
Trump dikatakan Presiden Amerika Syarikat yang paling teruk dalam sejarah negara itu.
A
A
A

DIA seorang presiden satu penggal yang pertama mengaibkan dirinya sendiri pada penghujung era pemerintahannya.

Dia pernah digelar sebagai pemimpin negara yang lebih banyak masa menghabiskan masanya dengan Twitternya daripada memimpin negara, pemimpin kurang waras fikiran, pemimpin white supremacist, dan pelbagai gelaran lagi. Dia ialah Donald John Trump, Presiden Amerika Syarikat ke-45.

Lahir pada 14 Jun 1946, Trump menjadi Presiden Amerika pada 20 Januari 2017, ketika berusia 74 tahun. Pada 20 Januari ini, Joe Biden akan diisytiharkan secara rasmi sebagai Presiden Amerika ke-46.

Sebelum memasuki arena politik, Trump ialah seorang usahawan dan personaliti televisyen. Dia tidak punyai pengalaman dalam kerajaan atau ketenteraan.

Tidak lama selepas dia mendudukki Oval Office, dia mengharamkan kemasukan warganegara dari beberapa negara Islam di dunia. Agenda yang dipeloporinya adalah America First.

Selain melancarkan perang dagang terhadap China, Trump juga telah memindahkan kedutaan Amerika Syarikat di Israel dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis (Jerusalem), sekali gus menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia. Tetapi dia tidak pedulikan semua itu.

Pada tahun 2019, House of Representatives (Dewan Perwakilan) negara itu telah menjalankan prosiding pendakwaan ke atas Trump atas pertuduhan melakukan salah guna kuasa dan menghalang Kongres, tetapi malangnya prosiding ini akhirnya gagal kerana Senat (Dewan Negara) telah membebaskannya daripada semua pertuduhan

Seperti kita sedia maklum, Trump tewas dalam pilihan raya presiden pada tahun lalu di tangan Joe Biden, tetapi dia enggan menerima kekalahannya.

Sebaliknya dia cuba menggagalkan keputusan pilihan raya itu dengan membuat aduan palsu kononnya ada berlaku penipuan, selain memfailkan pelbagai tindakan undang-undang dan menghalang proses peralihan.

Artikel Berkaitan:

Sewaktu proses pengiraan undi pilihan raya dilakukan pada 6 Januari lalu, Trump telah menghasut penyokongnya merusuh di Capitol Hill. Tindakan liar dan ganas penyokongnya ini telah memaksa Kongres mengosongkan bangunan itu.

Dalam insiden yang menggemparkan seluruh dunia itu, lima orang telah terbunuh.

Mengikut laporan stesyen televisyen San Diego, KUSI, wanita yang maut dipercayai terkena tembakan dalam rusuhan keganasan di bangunan Capitol, Washington itu adalah penyokong tegar Trump bernama Ashli Babbitt, seorang veteran tentera, berasal dari San Diego, California.

Tujuh hari kemudian, buat kali keduanya Dewan Perwakilan sekali lagi memulakan prosiding pendakwaan terhadap Trump, kali ini kerana menghasut pemberontakan, menjadikan Trump presiden yang pertama dikenakan prosiding jenayah kali kedua itu dalam sejarah Amerika Syarikat.

Mengikut Matthew Knott, ramai ahli sejarah di Amerika sependapat bahawa Trump merupakan presiden negara itu yang paling teruk.

Atas permintaan majalah Life, Arthur M. Schlesinger (pakar sejarah Universiti Harvard) telah membuat kajian dengan bertanya seramai 55 ahli sejarah negara itu “Siapakah, dalam pertimbangan mereka, presiden negara itu yang terbaik dan paling buruk sekali?”

Mereka menamakan Abraham Lincoln sebagai presiden terbaik, George Washington kedua terbaik, Franklin Roosevelt ketiga terbaik, dan Donald Trump sebagai presiden paling teruk dalam sejarah negara.

Pada 9 Januari lalu, Biden mengutuk Trump dengan mendakwa Presiden Amerika itu telah melakukan serangan terhadap institusi demokrasi Amerika sejak dari mula tempoh pentadbiran presidennya.

Biden juga mendakwa Trump telah menghasut penyokongnya untuk tidak menerima kekalahannya dan merusuh di Capitol Hill.

“Kejadian itu pada pandangan saya adalah detik paling hitam dalam sejarah negara kita, serangan yang belum pernah terjadi sebelum ini terhadap demokrasi kita,” tegasnya.

Mengikut laporan AFP, beberapa jam selepas penunjuk perasaan (yang terdiri dari penyokong Trump berhimpun), mereka telah merempuh sekatan jalan raya dan menyerbu masuk bangunan Capitol untuk mengganggu sesi khas Kongres di situ, menyebabkan sidang itu dihentikan sementara.

Sehari sebelum itu, pada 8 Januari, Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg mengeluarkan kenyataan bahawa Trump dilarang menggunakan akaun Facebooknya disebabkan perbuatannya menghasut keganasan, iaitu “menghasut pemberontakan ganas terhadap pemerintah yang dipilih secara demokratik”.

Pengumuman Zuckerberg itu dibuat sehari selepas akaun media sosial Trump dikunci kerana perbuatannya.

“Kami percaya risiko membiarkan Presiden Trump terus menggunakan perkhidmatan kami dalam tempoh ini terlalu besar.

“Oleh itu, kami menyekat akaun Facebook dan Instagramnya bagi tempoh lebih lama sekurang-kurangnya dua minggu lagi sehingga peralihan kuasa secara damai selesai,” kata Zuckerberg dalam laman Facebooknya

Selain akaun Facebooknya dikunci, Trump juga diaibkan apabila akaun Twitternya dan Snapchartnya disekat oleh pengendalinya.

Mengikut Twitter, akaun Trump akan dikunci selama-lamanya sekiranya dia terus melanggar peraturan platform itu. Mengikut Snapchat pula, akaun Trump dikunci kerana “bimbang mengenai retoriknya yang berbahaya”.

Ekoran tindakan ganas penyokong Trump menyerang bangunan Capitol itu, beberapa pegawai pentadbirannya meletakkan jawatan.

Pegawai yang pertama melepaskan jawatannya ialah bekas Setiausaha Akhbar White House dan Ketua Staf Melania Trump, Stephanie Grisham.

Stephanie disusuli oleh Timbalan Setiausaha White House, Sarah Matthews, yang melepaskan jawatannya berkuat kuasa serta-merta, sebagai tindak balas terhadap rusuhan di Kongres. Tegasnya dalam satu kenyataan: “Sebagai individu yang bekerja di dewan Kongres, saya sangat terganggu dengan kejadian hari ini. Saya akan mengundurkan diri daripada jawatan ini dengan segera. Negara kita memerlukan peralihan kuasa secara aman.”

Seorang pegawai lain yang turut sama meletakkan jawatannya ialah Setiausaha Sosial White House, Rickie Niceta. Tindakannya dilihat sebagai satu tanda kecewa terhadap perbuatan Trump yang sangat mengaibkan nama baik pentadbiran negara.

Pengamal media di Washington membuat spekulasi Trump akan meninggalkan Washington pada pagi 20 Januari ini kerana dia tidak berhasrat hadir dalam upacara rasmi perlantikan Joe Biden.

Bagaimanapun, Mike Pence, timbalan kepada Trump, yang selama ini tidak setuju dengan perbuatan Trump menghasut penyokongnya merusuh, akan hadir pada upacara tersebut.

Soalnya apakah ahli politik di negara kita (yang mimpikan satu hari nanti mereka akan menjadi pemimpin negara) boleh mengambil pengajaran daripada cerita Trump ini?

*Profesor Datuk Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan dan Pakar Undang-Undang