X

Kindly register in order to view this article
!

Air Terjun Tanjung Batu musnah

Keadaan Air Terjun Tanjung Batu yang dikongsi di media sosial sebelum projek kuari dilaksanakan. Foto: Facebook Otai Manjung, Twitter Shakila Schon Gambar kanan: Keadaan terkini kawasan Air Terjun Tanjung Batu yang didakwa kesan penggondolan hutan bagi aktiviti kuari.
A
A

MANJUNG - Keindahan alam semula jadi di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari di sini musnah apabila aktiviti kuari beroperasi sejak pertengahan tahun lalu.

Projek di atas tapak berkeluasan 18 hektar itu didakwa telahpun memulakan kerja-kerja awal pembersihan di kawasan laluan masuk ke air terjun berkenaan.

Maklumat pada papan tanda yang dipasang di kawasan berhampiran menunjukkan, pembangunan kuari tersebut mendapat kelulusan kerajaan negeri di sebahagian kompartmen 16 di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang.

Pelaksanaan projek berkenaan telah menimbulkan rasa kecewa pencinta alam sekitar kerana dilakukan tanpa urus hutan yang betul sehingga menjejaskan ekosistem sedia ada di kawasan itu.

Dalam ciapan Twitter dan perkongsian di Facebook yang tular sejak Jumaat memberi gambaran kawasan air terjun itu sebelumnya menghijau dengan air jernih.

Bagaimanapun keadaan kini berubah apabila dipenuhi timbunan pokok dan kayu serta selut kesan penggondolan hutan bagi tujuan projek kuari.

Melalui akaun Facebook Otai Manjung mendakwa aktiviti terbaharu di kawasan hutan itu dilakukan secara rakus tanpa pertimbangan terhadap alam sekitar.

Keadaan terkini kawasan Air Terjun Tanjung Batu yang didakwa kesan penggondolan hutan bagi aktiviti kuari.
Keadaan terkini kawasan Air Terjun Tanjung Batu yang didakwa kesan penggondolan hutan bagi aktiviti kuari.

"Terdapat pelbagai khazanah alam flora dan fauna yang boleh diterokai, salah satunya Air Terjun Tanjung Batu.

"Tetapi kini segalanya telah musnah akibat daripada projek ini. Lihatlah, hanya kerana mahukan keuntungan segera dan mudah, khazanah alam bukan lagi sesuatu yang penting bagi mereka," kongsinya.

Menerusi Twitter Shakila Schon mempersoalkan kelulusan diberikan kerajaan negeri terhadap projek berkenaan.

"Thank you (terima kasih) MB Perak, perhitungan dengan rakyat telah selesai, tunggu perhitungan dengan tuhan," tulisnya.

Dalam pada itu, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, secara umum kawasan itu memang terkenal sebagai kawasan rekreasi dalam kalangan penduduk setempat dan pendaki.

Katanya, SAM sendiri pernah mengemukakan bantahan terhadap cadangan pelaksanaan projek itu sebelum ini, namun tidak berjaya.

"Kali ini orang awam sendiri yang bersuara dan tularkan setelah melihat impaknya terhadap alam sekitar.

"Boleh nampak kawasan yang dahulunya jadi port mendaki dan mandi sudah dimusnahkan, saya kira kita sudah agak terlewat kerana projek ini sememangnya sudah diluluskan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!