Kerajaan tiada alasan tidak guna dana Covid-19 RM17 bilion: DAP

GUAN ENG
GUAN ENG
A
A
A

SHAH ALAM - DAP menyifatkan kerajaan tiada alasan untuk tidak menggunakan dana Covid-19 bernilai RM17 bilion diluluskan dalam Belanjawan 2021 untuk Kementerian Kesihatan bagi melaksanakan 3T (test, trace, treat) sepenuhnya.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, tanpa 3T, lebih ramai rakyat Malaysia akan dijangkiti Covid-19 dan lebih banyak nyawa akan terkorban.

Guan Eng mendakwa, Menteri Sains, Teknologı dan Inovasi, Khairy Jamaluddin telah mengecewakan rakyat dengan pengumuman bahawa vaksin Covid-19 tidak akan tersedia untuk sebahagian besar rakyat Malaysia sehingga suku ketiga tahun ini.

"Beliau mendedahkan bahawa pelan vaksinasi Malaysia akan mengambil masa sehingga 18 bulan dari penghantaran vaksin pada akhir Februari 2021, dua bulan kemudian berbanding Indonesia dan Singapura.

"Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hanya menandatangani kontrak untuk mendapatkan tambahan 12.2 juta dos vaksin Pizer-BioNTech pada 11 Januari dan dengan jumlah 25 juta dos Pfizer, akan meliputi hanya 39 peratus populasi negara pada tahun 2021.

"Bolehkah kerajaan menjelaskan sama ada 61 peratus populasi selebihnya harus menunggu hingga tahun 2022, atau mereka akan diberi vaksin dengan vaksin dari negara lain yang keberkesanannya telah dipersoalkan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, berdasarkan pelan vaksinasi selama 18 bulan ini, ancaman Covid-19 pada Malaysia akan kekal pada hingga akhir tahun 2022.

Menurutnya, kelewatan dua bulan dalam mendapatkan penghantaran vaksin berbanding Indonesia dan Singapura, dan rancangan vaksinasi selama 18 bulan tidak dapat diterima.

Artikel Berkaitan:

"Banyak nyawa akan hilang tanpa perlu dan rakyat akan menderita lebih lama akibat kesan ekonomi yang teruk.

"Memandangkan kelewatan yang terlalu lama dalam mendapatkan penghantaran vaksin lebih awal, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) perlu campur tangan untuk mengembalikan ujian saringan penuh semua kontak rapat pesakit Covid-19, walaupun mereka tidak bergejala.

"Pelaksanaan penuh 3T iaitu saringan, pengesanan dan rawatan, termasuk ujian saringan penuh adalah paling berkesan untuk membendung Covid-19," katanya.

Katanya lagi, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah mengesahkan bahawa ujian saringan tidak lagi akan dilakukan pada setiap individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 sebaliknya hanya menyaring mereka yang menunjukkan gejala.

"'Kelonggaran' terhadap arahan sebelum ini yang memerlukan ujian saringan penuh yang melibatkan semua kontak rapat tanpa gejala adalah hasil daripada sistem penjagaan kesihatan kita yang tidak mampu menangani lonjakan jumlah pesakit Covid-19.

"Jelas menteri Kabinet culas dalam tugas mereka sehingga gagal memberikan sokongan dan sumber penuh dari segi peralatan dan tenaga kerja untuk wira barisan harapan negara dalam pertempuran hidup dan mati melawan Covid-19," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Malaysia masih antara terawal terima vaksin Covid-19: Khairy