'Porsche itu memang atas nama saya, tapi...'

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin
A
A
A

SHAH ALAM - Kereta mewah jenis Porsche Cayman yang didakwa milik Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin sebenarnya adalah kereta yang dibeli anaknya beberapa tahun lalu.

Menjelaskan perkara itu, Hashim berkata, kereta berkenaan adalah untuk perniagaan, bukan kegunaan peribadi.

Dipetik HMetro Online, Hashim ketika dihubungi berkata, anaknya membeli kereta berkenaan dengan menggunakan Lesen Import (AP) miliknya atas kapasiti Hashim sebagai bekas Ahli Parlimen ketika itu.

“Saya tak pernah naik pun kereta itu, anak saya beli kereta itu untuk perniagaan dengan menggunakan AP saya dan secara automatiknya kereta itu atas nama saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dana RM90 juta: Nik Abduh hadir SPRM beri keterangan

“Kereta itu pun sudah dijual lama dahulu dan saya pun tak ada duit nak beli dengan harga RM100,000 lebih secara tunai ketika itu.

“Jadi kalau tanya saya, betul kereta itu atas nama saya tetapi saya tidak memilikinya secara mutlak seperti yang dituduh baru-baru ini,” katanya.

Hashim berkata demikian ketika menjawab tuduhan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown terhadap Pas di Mahkamah Tinggi London bahawa pemimpin tertinggi dan Ahli Parlimen Pas menikmati kemewahan daripada wang pemberian bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang disalurkan ke parti itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hashim berkata, tuduhan itu sengaja ditimbulkan supaya ia memenuhi kehendak kontroversi politik semasa yang membabitkan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

“Depa sudah tak ada isu, saja nak bangkitkan perkara ini supaya menepati keperluan dan kereta yang dibeli anak saya itu tak ada kaitan langsung dengan tuduhan wang RM90 juta itu.

“Dari dulu sampai sekarang saya bawa Proton Saga saja dan rakyat Perlis tahulah kehidupan saya macam mana dan sewaktu kereta itu (Porsche Cayman) itu dibeli anak saya, ia mengikut proses undang-undang yang sah,” katanya.