Putaran bumi lebih cepat fenomena biasa

Gambar kecil: SHAHRIN
Gambar kecil: SHAHRIN
A
A
A

SHAH ALAM - Pertambahan atau pengurangan masa putaran bumi merupakan fenomena alam yang biasa dan tidak memberi apa-apa kesan ketara terhadap keadaan bumi dan cuaca termasuk waktu solat bagi umat Islam.

Penggiat astronomi, Shahrin Ahmad berkata, meskipun saintis menjangkakan pada tahun 2021 ini trend putaran akan berkurangan dan secara puratanya hari akan lebih pendek sebanyak 0.05 milisaat berbanding putaran hari solar 24 jam sehari, orang ramai tidak perlu bimbang dengan keadaan semula jadi yang berlaku sejak dahulu.

Menurutnya, fenomena tersebut berlaku setiap hari dan kesannya terlalu kecil dalam skala milisaat (0.001/saat), namun penyelarasan semula waktu pada jam atom akan dilakukan dinamakan leap second (saat lompat).

“Putaran bumi yang tidak konsisten disebabkan oleh gabungan faktor-faktor yang ada pada lapisan atmosfera dan lapisan dalam kerak bumi iaitu air, udara dan mantel yang beri kesan pada putaran fizikal bumi.

“Bila ini berlaku, ia memberi perbezaan pada masa putaran bumi sama ada pengurangan atau pertambahan.

“Kiraan putaran ini diukur dengan jam atom yang dicipta saintis sejak tahun 1960-an lebih tepat berbanding jam biasa berdasarkan kedudukan matahari dalam tempoh 24 jam,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau menjelaskan, apa yang berlaku merupakan istimewanya pada tahun 2020 apabila sebanyak 28 kali hari terpendek dalam sejarah dikenal pasti berbanding rekod pada 5 Julai 2005 sejak awal pemerhatian metrologi iaitu selepas kewujudan jam atom.

Bagaimanapun, katanya, ada juga direkodkan hari paling panjang iaitu pertambahan 1.62 milisaat pada 8 April 2020.

Artikel Berkaitan:

“Jadi ia boleh berlaku pengurangan atau pertambahan masa berdasarkan putaran bumi.

“Tidak perlu risau kerana ini fenomena biasa sejak dulu dan tidak beri kesan pada cuaca, waktu solat dan sebagainya kerana kesannya terlalu kecil,” katanya.

Terdahulu, Fizik Teknikal dan Kejuruteraan Radio, Institut Metrologi Rusia menerusi laporan agensi berita Sputnik melaporkan, putaran bumi yang lebih cepat dijangka menjadikan tahun 2021 lebih pendek berbanding tahun sebelumnya dan mungkin mengurangkan satu saat daripada penyelarasan waktu sejagat (UTC).

Menurut laporan itu, tahun 2020 mengandungi 28 hari terpendek dalam sejarah iaitu sejak awal pemerhatian metrologi pada 1960, manakala 19 Julai dicatatkan 1.4 milisaat lebih pendek daripada biasa.

Katanya, trend berkenaan dijangka berterusan pada tahun-tahun akan datang. Sejak tahun 1972, sejumlah 27 saat telah ditambah ke UTC untuk mengimbangkan masa sejagat.

Pengimbangan pertama dibuat pada 1 Julai 1972 dan terakhir pada 1 Januari 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Bumi berputar lebih cepat, tahun akan datang mungkin lebih pendek