Lapan jemaah tabligh Malaysia berjaya dibawa pulang dari India

Kamarudin Jaffar
Kamarudin Jaffar
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai lapan ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia dari New Delhi selamat tiba di Malaysia pada jam 3.58 petang pada Rabu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Patna, Bihar yang membatalkan pertuduhan menyalahguna pas lawatan sosial ke atas mereka.

Menurut Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar, hanya seorang lagi rakyat Malaysia yang masih menunggu keputusan mahkamah terhadap kes terbabit di Kishanganj, India.

“Kementerian Luar Negeri, menerusi perwakilan Malaysia di New Delhi, India akan terus memantau perkembangan kes dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras usaha membawa pulang individu tersebut selepas pembebasan beliau kelak,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, setakat ini Kementerian Luar Negeri berjaya membawa pulang seramai 188 daripada 189 orang ahli jemaah tabligh yang berada di India.

Sebelum ini, seramai 180 ahli JT rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) pada tahun lepas.

Ujar Kamarudin, selaras dengan peraturan semasa, kesemua individu yang dibawa pulang ke tanah air akan menjalani kuarantin selama 10 hari di Stesen Kuarantin (QS) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Kementerian Luar Negeri merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat terutama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas kerjasama dan komitmen berterusan dalam menjayakan misi membawa pulang ahli jemaah tabligh Malaysia di India.

"Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan India yang terus membantu urusan kepulangan mereka katanya," katanya.

Artikel Berkaitan: