X

Kindly register in order to view this article
!

DBKL bersihkan port gelandangan di jejantas Jalan Raja Laut

Keadaan jejantas di Jalan Raja Laut yang menjadi port gelandangan. Gambar kanan: Keadaan jejantas di Jalan Raja Laut selepas dibersihkan pihak DBKL pada Selasa.
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan membersihkan port gelandangan di jejantas berhadapan Bangunan Menara Raja Laut di sini dalam Operasi Penguatkuasaan Anti Litter pada Selasa.

Unit Media DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengusir gelandangan terbabit berikutan golongan itu menyebabkan persekitaran menjadi kotor dan menghalang pihak konsesi kebersihan menjalankan kerja-kerja pembersihan jejantas.

Menurut DBKL, pihaknya akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa supaya kebersihan di kawasan itu dapat dikekalkan.

"Bahagian Alam Sekitar Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL mengadakan operasi di Sekitar Jalan Raja Laut bagi memastikan setiap premis perniagaan mematuhi peranan dan tanggungjawab mereka dalam memastikan kebersihan persekitaran kawasan perniagaan.

"Susulan operasi ini juga tindakan mengusir 'port' gelandangan yang berada di atas jejantas hadapan Bangunan Menara Raja Laut, Jalan Raja Laut dilakukan kerana menyebabkan persekitaran kotor," menurut kenyataan itu.

DBKL dalam pada itu menggesa pemilik perniagaan memastikan kebersihan premis mereka pada tahap yang optimum dan tiada sisa sampah di tempat tidak sepatutnya.

"Tindakan teguran menjaga kebersihan sekitar telah dibuat. Kompaun juga telah dikeluarkan terhadap premis yang masih lagi membuang sampah di siar kaki premis dan tidak memasukkan sampah ke dalam tong sampah yang disediakan.

"Warga kota juga digesa untuk bersama-sama menjaga kemudahan yang disediakan serta kebersihan persekitaran kerana Kuala Lumpur bandar untuk semua," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!