426 individu positif Covid-19 di Kuala Langat

Anggota polis dan ATM menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Jalan Banting - Dengkil, susulan pelaksanaan PKP yang berkuat kuasa pada Rabu.
Anggota polis dan ATM menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Jalan Banting - Dengkil, susulan pelaksanaan PKP yang berkuat kuasa pada Rabu.
A
A
A

BANTING - Seramai 426 individu disahkan positif Covid-19 di daerah Kuala Langat setakat Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, daripada jumlah itu, mukim Telok Panglima Garang merekodkan 119 kes, Tanjung 12(1) dengan 205 kes, Tanjung 12(2) membabitkan 44 kes dan Jugra dengan 21 kes.

Menurutnya, selebihnya adalah mukim Bandar dengan jumlah 13 kes, Morib (18 kes) dan Batu iaitu enam kes.

Azizan membuat semakan dokumen ke atas pemandu kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Jalan Banting - Dengkil, susulan pelaksanaan PKP yang berkuat kuasa pada Rabu.
Azizan membuat semakan dokumen ke atas pemandu kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Jalan Banting - Dengkil, susulan pelaksanaan PKP yang berkuat kuasa pada Rabu.

"Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini (Rabu), orang ramai diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19.

"Bagi daerah Kuala Langat, buat masa ini pasar awam, pasar malam dan pasar pagi adalah tidak dibenarkan untuk beroperasi sehingga diberitahu kelak," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Banting - Dengkil, di sini pada Rabu.

Azizan berkata, sebanyak lima SJR di daerah ini telah dilaksanakan iaitu di Jalan Banting - Dengkil, Jalan Sri Cheeding, Tol Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) Telok Panglima Garang, Batu 7 Sijangkang dan Tol Saujana Putra membabitkan kekuatan 60 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 30 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, SJR ini akan memainkan peranan penting dalam melakukan pemeriksaan serta kawalan pergerakan rentas daerah dan negeri.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pihaknya juga telah menubuhkan empat pasukan pematuhan SOP bagi memantau kawasan tumpuan awam seperti restoran, tempat rekreasi, premis kerajaan dan pusat beli-belah dan bank.

"Masyarakat diingatkan untuk terus kekal berada di rumah dan tidak keluar sekiranya tiada keperluan mendesak.

"Sepanjang tempoh PKP ini sebarang aktiviti sosial adalah tidak dibenarkan termasuklah majlis perkahwinan dan majlis keagamaan. Sebarang kemusykilan boleh rujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau menghubungi di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat 03-31872222," katanya.