Pastikan pembelajaran lancar ketika PKP dan sepanjang 2021

Antara pelajar yang menggunakan aplikasi Google Classroom dan Google Meet ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Mac lalu.
Antara pelajar yang menggunakan aplikasi Google Classroom dan Google Meet ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Mac lalu.
A
A
A

KEBANYAKAN ibu bapa, termasuk saya sendiri, menerima keputusan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan hati yang terbuka walaupun ramai telah membuat persediaan persekolahan anak-anak.

Amat difahami bahawa langkah ini penting bagi membendung wabak Covid-19 dan melindungi keselamatan kesihatan anak masing-masing.

Dengan penangguhan pembukaan sekolah di negeri-negeri yang dikenakan PKP, pelajar terlibat akan meneruskan pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mulai 20 Januari 2021, kecuali pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM, STPM dan setara.

Adalah satu pendekatan yang mesra apabila pihak Kementerian Pelajaran menyatakan PdPR ini akan dilaksanakan mengikut kesesuaian guru dan murid.

Namun kenyataan ini diharap tidak akan memberi ruang bagi mana-mana pihak untuk mengambil sikap sambil lewa tentang pendidikan anak-anak yang menjadi sandaran masa depan negara.

Pembelajaran bagi kebanyakan pelajar banyak terkesan apabila tidak dapat hadir ke sekolah dan pada masa yang sama menghadapi pelbagai kekangan untuk belajar dengan berkesan di rumah.

Kita semua maklum bahawa kekangan ini termasuklah ketiadaan peranti dan sambungan Internet serta persekitaran rumah yang tidak kondusif untuk pembelajaran.

Namun, bagi yang bernasib baik dan tidak menghadapi kekangan-kekangan yang disebutkan, pertamanya jadual dan kaedah PdPR harus diperbaiki bagi sesi persekolahan 2021.

Artikel Berkaitan:

Mengimbas kembali tahun 2020, pihak sekolah menghadapi cabaran besar untuk melaksanakan PdPR kerana tidak biasa.

Justeru, ramai guru sekadar mampu mengirimkan kerja rumah melalui aplikasi pesanan segera seperti WhatsApp atau emel dan mengharapkan pelajar mampu menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Persoalannya, bagaimana pelajar mampu menyiapkan tugasan sekiranya pengajaran langsung tidak berlaku.

Terdapat guru yang menekankan pelajar menghantar kerja rumah tetapi tidak serius atau tidak langsung menyemak dan memberi maklum balas mengenai setiap tugasan yang dipulangkan.

Ada juga guru yang menghantar kerja rumah pada waktu malam dan tidak mengikut jadual yang ditetapkan.

Kedua, memandangkan pengumuman awal telah dibuat bahawa persekolahan akan bermula pada 20 Januari 2020, adalah amat diharapkan guru-guru telah bersedia sama ada untuk melaksanakan pengajaran di dalam kelas mahupun dari rumah.

Kita berharap agar tidak ada lagi masa yang dibazirkan seperti yang berlaku semasa PKP 1.0 diumumkan. Seharusnya, kemahiran asas dan bahan PdPR sudah lengkap dan pemantauan aktiviti PdPR secara sistematik penting dalam memastikan matlamat ini tercapai.

Ketiga, satu perkara penting yang perlu dilihat oleh pihak Kementerian adalah bagaimana sokongan secukupnya disalurkan bagi memenuhi keperluan guru bekerja dari rumah secara efektif seperti kos Internet, peranti serta sokongan-sokongan lain.

Keempat, melalui dasar kenaikan kelas secara automatik, masuknya tahun 2021 bermakna pelajar akan naik darjah/tingkatan. Namun “lesson lost” semasa 2020 bermakna akan ada jurang pembelajaran.

Contohnya tentu ada pelajar Darjah 1 yang masih tidak dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira-kemahiran yang penting untuk meneruskan pembelajaran Darjah 2.

Inisiatif khusus perlu dibuat bagi menangani masalah seperti ini sebelum jurang semakin melebar. Program tutoring yang mengupah graduan-graduan yang masih belum mendapat pekerjaan boleh dilaksanakan bagi mengatasi dua masalah sekali gus: jurang pembelajaran dan pengangguran belia. Tenaga guru sedia ada juga boleh digembleng secara bersepadu.

Kelima, guru-guru perlu diletakkan antara kumpulan terawal dalam menerima vaksin kerana mereka adalah antara barisan hadapan penting yang menyumbang kepada masyarakat dan negara namun berisiko tinggi menjangkiti dan dijangkiti virus Covid-19.

Keenam, apabila jumlah kes mula reda, pembukaan sekolah harus menjadi keutamaan. Sudah pasti risiko masih ada di sekolah tetapi sewajarnya sekolah paling akhir ditutup dan paling awal dibuka dan bukannya gym, restoran dan entiti-entiti sosial lain.

Sekiranya kita merasakan tidak selamat untuk membuka sekolah, pastinya pembukaan restoran juga tidak selamat. Keselamatan kesihatan sekolah sepatutnya menjadi tanda aras yang harus dirujuk dalam penilaian risiko jangkitan Covid-19 oleh kerajaan.

Ketujuh, semasa sekolah dibuka semula pada Julai tahun lalu, terdapat ibu bapa yang tidak yakin untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Langkah-langkah meningkatkan keyakinan ibubapa untuk menghantar anak-anak kembali ke sekolah selepas PKP 2.0 ini perlu difikirkan secara mendalam. Contohnya memastikan semua guru dan staf pentadbiran menjalani ujian saringan Covid-19 dan memperketatkan SOP.

Apa yang berlaku semasa tahun 2020 jelas menunjukkan kita meletakkan keutamaan yang kurang tepat.

Kita tidak harus dilihat lebih bersedia melindungi entiti berkepentingan ekonomi berbanding kesediaan melindungi sekolah dan kelestarian persekolahan.

Tidak wajar kita membiarkan generasi pelajar sekarang tercicir atas ketidakcekapan kita menangani cabaran ini dan meletakkan prioriti yang salah.

* Hawati ialah penyelidik dari Khazanah Research Institute.