Cadang kecualikan pergerakan lebih 10 kilometer di Sabah

Hazani (dua dari kanan) memeriksa kenderaan ketika membuat pemantauan di SJR Jalan Penampang-Papar Lama, Penampang pada Rabu.
Hazani (dua dari kanan) memeriksa kenderaan ketika membuat pemantauan di SJR Jalan Penampang-Papar Lama, Penampang pada Rabu.
A
A
A
PENAMPANG - Polis Sabah akan mencadangkan untuk mendapatkan pengecualian pergerakan lebih 10 kilometer (km) bagi memudahkan penduduk di negeri ini mendapatkan barang keperluan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, cadangan itu akan dikemukakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Dalam Negeri selepas mengambil kira keadaan jarak daerah di negeri ini yang luas.

"Saya minta diberi sedikit pengecualian pergerakan memandangkan daerah di Sabah ini besar dan terpaksa rentas lebih 10 km untuk beli barang keperluan.

"Saya akan bawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Dalam Negeri supaya dilonggarkan, contohnya dari Sabindo (dalam daerah Papar), jika ke Papar jauh, jadi mereka pergi ke Putatan (daerah berdekatan) untuk membeli barang keperluan.

"Begitu juga di Tongod, penduduk beli barang keperluan perlu ke Telupid dan ia sudah merentas daerah, jadi jarak 10 km itu tidak terpakai," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika melakukan pemantauan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Penampang-Papar Lama dan Sabindo, Papar.

Hazani bagaimanapun berkata, orang ramai yang keluar membeli barang keperluan perlu membawa bukti seperti bil air atau elektrik sebagai pengesahan tempat tinggal ketika melalui pemeriksaan di SJR.

Terdahulu, mengulas berhubung SJR di Sabah, Hazani berkata, sebanyak 53 SJR dilakukan sepanjang pelaksanaan PKP yang bermula 13 Januari hingga 26 Januari ini.

"Selain itu, terdapat dua lagi SJR di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Timbang Dayang, Kota Belud dan 10 SJR Op Benteng membabitkan kawasan pantai timur dan sempadan Kalimantan.
Artikel Berkaitan:


"Keseluruhannya membabitkan hampir 5,000 anggota termasuk 1,980 adalah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan bermula Sabtu ini, tiada lagi kelonggaran diberikan dan PDRM tidak akan berkompromi kepada sesiapa sahaja yang didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Selepas Jumaat ini, kami tidak lagi bertolak ansur dari segi rentas sempadan daerah di mana Ketua Polis Negara hanya beri kelonggaran sehingga Jumaat untuk masyarakat pulang ke kawasan masing-masing.

"Kita mahu disiplinkan masyarakat supaya lebih peka dan patuh peraturan yang dikeluarkan. Saya juga menyokong dengan saranan pucuk pimpinan tertinggi PDRM supaya kompaun dinaikkan berbanding sekarang hanya RM1,000, manakala kesalahan berulang kita akan tahan," katanya.