X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: Tiada sekatan untuk kenderaan perdagangan

Anggota Polis sedang membuat pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 13 Januari sehingga 26 Januari 2021 di berhampiran susur keluar di Tol Subang ke Lebuhraya Utara-Selatan malam tadi. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Tiada sekatan untuk kenderaan perdagangan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri yang bermula pada Rabu.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataannya berkata, laluan khas akan disediakan di setiap sekatan jalan raya (SJR).

"Pemandu kenderaan perdagangan hanya perlu mengemukakan surat pengesahan majikan untuk beroperasi jika diminta oleh pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, bagi syarikat sektor logistik yang lain seperti freight forwarders dan operator gudang yang berdaftar dengan persatuan masing-masing, surat kebenaran daripada MOT boleh diperoleh dari persatuan masing-masing.

"Surat Kebenaran daripada MOT dan bukti keahlian persatuan perlu disertakan sekiranya diminta oleh pihak berkuasa.

"Bagi syarikat yang tidak berdaftar dengan mana-mana persatuan, surat kelulusan daripada MOT boleh dipohon menerusi pautan https://application.mot.gov.my/," katanya.

Kementerian itu berkata, pihaknya amat peka dan memandang serius segala isu atau permasalahan bagi memastikan kelangsungan aktiviti perdagangan dan sektor logistik yang berhubungkait dengan pengoperasian pengangkutan dapat terus beroperasi dengan lancar serta selamat.

"Bagi pengguna pengangkutan awam, dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP (prosedur operasi standard) dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), mengamalkan penjarakkan fizikal serta sentiasa menjaga kebersihan diri sebagai langkah pencegahan dalam berdepan penularan pandemik Covid-19," katanya.

PKP dilaksanakan selama 14 hari bermula Rabu di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!