Mayat lelaki ditemui atas lori

Mayat seorang lelaki ditemui terlentang di atas sebuah lori dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam di Sitiawan, hari ini.
A
A

SITIAWAN - Mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemui di bahagian belakang lori di kawasan parkir kenderaan di Taman Sejati, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Mayat lelaki dianggarkan berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditemui pemilik kedai berkenaan yang kemudiannya melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian daripada orang awam pada jam 12 tengah hari terdapat mayat di atas sebuah lori yang di kawasan parkir kenderaan rumah kedai tiga tingkat.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai warga tempatan memakai baju putih, berseluar panjang serta memakai sarung tangan.

"Mayat berkenaan berada dalam keadaan terlentang dengan kesan darah di bawah kepala dan badan selain terdapat kesan cedera di kepala," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Hanif, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam dan pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa serta punca kejadian.

"Mayat di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian sebenar dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai yang enggan dikenali memaklumkan premisnya itu masih ditutup kerana bercuti dan datang ke kedai disebabkan mempunyai urusan kerja sekitar jam 11 pagi.

"Masa mula sampai kedai saya tidak tercium bau apa-apa atau menyedari sesuatu yang pelik, namun bila keluar dari kedai selepas selesai kerja saya terbau busuk dan mencarinya.

"Saya terkejut bila melihat mayat seorang lelaki berada dalam lori milik premis yang diletakkan di hadapan kedai sebelum menghubungi polis," katanya.

Pemilik kedai berkenaan juga memaklumkan premisnya tidak mempunyai kesan pecah masuk serta tiada barang hilang selain turut mengakui lelaki terbabit bukan pekerjanya.