X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: PDRM beku cuti pegawai, anggota serta-merta

Abdul Hamid pada sidang akhbar khas di Bukit Aman pada Selasa.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan cuti pegawai dan anggotanya serta-merta susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada Rabu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ini bagi memastikan pihaknya dapat meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Menurutnya, pihaknya sudah mendapat taklimat daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan tindakan pelaksanaan PKP ini adalah wajar.

"Sehingga kini PDRM mempunyai seramai 48,000 pegawai serta anggota yang bersedia untuk penugasan penguatkuasaan PKP dan kita juga ada 12,000 keanggotaan lagi dalam keadaan bersedia," katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman pada Selasa.

Bagaimanapun katanya, bagi penugasan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan negara, mereka akan terus menjalankan penugasan Ops Benteng dan tidak terlibat dengan penugasan di bandar.

Mengulas berkenaan pelaksanaan sekatan jalan raya, beliau berkata, secara keseluruhannya masih belum ada angka rasmi untuk jumlah sekatan jalan raya kerana ia masih dalam proses pengaturan di peringkat kontinjen.

"Tapi saya jangkakan jumlahnya mungkin lebih daripada 300 sekatan dan ia akan bertambah. Ini tidak termasuk 56 sekatan jalan raya yang memfokuskan Ops Benteng.

"Bagi sekatan jalan raya bagi PKP kali ini, kita memfokuskan di susur keluar tol selain jalan Persekutuan yang menghubungkan dua negeri," katanya.

Dalam pada itu, beliau dan warga PDRM menzahirkan rasa simpati terhadap orang ramai yang kehilangan ahli keluarga disebabkan jangkitan Covid-19.

Justeru, beliau akan menyediakan barisan petugas yang komited untuk memastikan arahan SOP dipatuhi semaksimum mungkin.

ARTIKEL BERKAITAN PM umum PKP bersasar mulai 13 Januari


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!