Hanya sebungkus roti dibenarkan setiap pelanggan: KPDNHEP

Ismail (kiri) dan Norena melihat stok roti putih yang terdapat di Pasaraya Mydin, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka pada Selasa.
Ismail (kiri) dan Norena melihat stok roti putih yang terdapat di Pasaraya Mydin, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengambil inisiatif menetapkan hanya sebungkus pembelian roti putih dibenarkan bagi setiap pelanggan di kedai runcit mahupun pasar raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula Rabu.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, langkah itu bukan disebabkan bekalan roti tidak mencukupi, namun bagi memastikan bekalan roti putih tidak kira jenama sentiasa ada dan tidak berlaku seperti PKP lalu sehingga berlaku pembelian panik dan kehabisan.

Menurutnya, had pembelian itu turut disyaratkan kepada barang bekalan makanan lain seperti minyak masak paket, tepung gandum dan gula pasir yang dihadkan hanya dua unit bagi setiap pelanggan agar tidak berlaku pembaziran dan pengguna dapat membelinya tanpa sebarang kesulitan atau kekurangan bekalan tersebut.

"Kita terpaksa mengambil inisiatif berkenaan berdasarkan kepada pengalaman pelaksanaan PKP lalu yang menyaksikan pengguna membeli roti putih serta barangan keperluan harian lain secara panik dan berlebihan menyebabkan stok produk berkenaan habis di pasaran.

"Roti putih masih banyak di Melaka cuma kita mahu mengekang pembelian panik dalam kalangan masyarakat dengan mengehadkan kepada sebungkus untuk setiap pembeli dan sebungkus itu hanya untuk satu jenama dan mereka diberi peluang untuk membeli roti putih jenama lain," katanya.

Ismail (dua dari kiri) dan Norena (dua dari kanan) melihat bekalan minyak masak paket ketika mengadakan tinjauan di Pasaraya Mydin, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka pada Selasa.
Ismail (dua dari kiri) dan Norena (dua dari kanan) melihat bekalan minyak masak paket ketika mengadakan tinjauan di Pasaraya Mydin, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika program Lawatan Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman di Pasaraya Mydin, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini pada Selasa.

Jelas beliau, inisiaitif itu telah dipanjangkan kepada seluruh peruncit dan pasar raya negeri ini termasuk kedai serbaneka dan stesen-stesen minyak supaya mereka mengambil tindakan sama dan setakat ini KPDNHEP mendapat kerjasama daripada pihak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ismail berkata, pada dua minggu lalu memang terdapat pengurangan bekalan makanan seperti minyak paket disebabkan pembelian banyak oleh pengguna atau peniaga dan perkara itu telah diambil tindakan supaya kekurangan bekalan makanan tidak berlaku lagi dalam tempoh PKP dan pengguna disaran bijak menguruskan perbelanjaan.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang kekurangan bekalan makanan di negeri ini dan pihaknya akan sentiasa memantau keadaan di semua premis jualan di negeri ini.

"Kita harap orang ramai tidak panik, kerana semua barang mencukupi," katanya.