X

Kindly register in order to view this article
!

Kos vaksin Sinovac lebih murah, dibotol dalam negara: KJ

KHAIRY
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan membayar kos pengeluaran vaksin Covid-19 yang dibangunkan makmal Sinovac dari China dengan harga lebih rendah, berikutan proses pembotolannya dibuat dalam negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga), telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan proses pembotolan vaksin itu, yang dijangka sedia untuk diedarkan kepada orang ramai akhir Mac ini.

“Saya nyatakan kos vaksin ini lebih murah susulan ia dibotolkan di sini dan bukannya di China, jika di China kosnya jauh lebih tinggi.

“Pharmaniaga telah diberi tugas untuk proses pembotolan vaksin dan kos itu telah pun dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini, dan mereka telah bersetuju dengan harga yang disebutkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian Bekalan Vaksin Covid-19 Secara Pukal antara Pharmaniaga dengan Sinovac.

Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Khairy bagaimanapun enggan mendedahkan semua maklumat terperinci mengenai kos perolehan vaksin tersebut kerana terikat dengan perjanjian kerahsiaan dengan syarikat pengeluar vaksin tersebut.

Katanya, Pharmaniaga telah diberi tanggungjawab dalam proses pembotolan vaksin tersebut kerana syarikat berkenaan mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya, mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Khairy berkata kerajaan akan mendapatkan pengiktirafan status halal bagi vaksin keluaran Sinovac, sebelum ia diedarkan.

“Majelis Ulama Indonesia (MUI) juga sebelum ini telah mengiktiraf status halal vaksin ini, dan kita juga akan melakukan perkara yang sama bersama Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

“Kita akan jamin vaksin ini selamat untuk kegunaan umat Islam,” katanya.

Terdahulu, pada majlis menandatangani perjanjian itu, Pharmaniaga diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Zulkarnain Md Eusope, manakala Sinovac diwakili Pengurus Besar Sinovac Life Sciences Co Ltd Gao Qiang. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!