Pak Wan negatif Covid-19

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof disahkan negatif Covid-19 selepas keputusan ujian saringan pada Isnin.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) pada Selasa, Mohd Redzuan atau turut dikenali sebagai Pak Wan menjalani ujian saringan setelah mendapat makluman yang beliau kontak dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Kontak rapat kepada Menteri (Tugas-tugas Khas) dinasihatkan untuk tidak panik dan kekal tenang.

“Beliau (Pak Wan) turut menasihati agar semua kontak rapat kepada individu yang disahkan positif untuk membuat ujian saringan Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan malah mengamalkan 3W dan mengelakkan 3S/3C seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada Ahad, Mustapa disahkan positif Covid-19 selepas mendapat keputusan ujian saringan malam Sabtu.

Beliau menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Kota Bharu dari Kuala Lumpur pada pagi Sabtu manakala pada Isnin pula, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun turut disahkan positif Covid-19.

Artikel Berkaitan: