X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia kesan kes pertama varian B117

Malaysia kesan kes pertama varian B117 dari UK. - Foto KKM
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan satu kes Covid-19 varian B117 United Kingdom (UK) pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes tersebut telah dikesan daripada seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke UK pada Disember 2020.

“Pengembara tersebut didapati positif pada 28 Disember 2020 dan telah diasingkan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Noor Hisham berkata, KKM telah melakukan pemantauan terhadap semua pengembara dari negara yang telah melaporkan kes mutasi varian B117 termasuk UK, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.

Menurutnya, sebanyak 968 sampel telah diuji sejak Oktober 2020 dan telah melakukan penjujukan genom bagi mengesan jenis mutasi UK B117 kepada 24 sampel.

“Setakat 11 Januari 2021, tiada penularan dalam negara telah dikesan berkaitan virus mutasi UK B117 tersebut.

“KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B117 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Ujar beliau, mutasi UK B117 tersebut didapati tidak akan menyebabkan simptom yang teruk, namun ia difahamkan boleh menular dengan mudah dan cepat.

“Orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka di tempat awam, dan menjaga penjarakkan fizikal setiap masa,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!