Murid sekolah rendah, Tingkatan Satu hingga Empat ikuti PdPR
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Semua murid sekolah rendah dan Tingkatan Satu hingga Empat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mulai 20 Januari ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, ketetapan itu juga terpakai kepada pelajar Semester 2 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Semester 2 Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 di Kolej Vokasional.
"PdPR akan dijalankan mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari," kata kenyataan tersebut pada Isnin.
Kenyataan turut menyebut, sesi persekolahan hanya diadakan secara bersemuka melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), SVM, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
"Pelajar DVM tahun 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara turut mengikuti pembelajaran secara bersemuka," katanya.
Menurut kenyataan itu, murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari ini.
"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan murid merentas negeri atau daerah untuk pulang ke asrama," katanya.
KPM berkata, calon berdaftar bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke Tingkatan Satu akan mengikuti pentaksiran antara 20 dan 29 Januari 2021.
Sementara itu, bagi kemasukan ke Tingkatan Empat pula, pentaksiran akan diadakan di antara 15 dan 25 Februari 2021.
"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh KPM bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran yang ditetapkan," katanya.
Bagi tujuan pengoperasian sekolah, KPM menjelaskan, semua guru dikehendaki kembali ke stesen tempat bertugas sebelum 20 Januari ini.
"Guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM, SVM, SKM, STPM, STAM, DVM tahun 2020 dan 2021 di kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan PdP secara bersemuka.
"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah," katanya.
Bagi pelajar kolej matrikulasi di kawasan PKP yang telah berada di kolej perlu kekal di situ untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.
"Bagi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di kawasan PKP, pengajaran dan pembelajaran bagi semua program pengajian akan dilaksana secara dalam talian mulai 17 Januari 2021.
"Di samping itu, semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka," katanya.
Menyentuh mengenai negeri dan kawasan yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), KPM berkata, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing.
"KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri.
"KPM akan sentiasa mengambil langkah-langkah perlu selaras dengan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam Norma Baharu serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Pemantauan pengoperasian institusi pendidikan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan semua warga institusi pendidikan sentiasa diutamakan," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
PKPB pula akan melibatkan enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah Terangganu dan Kelantan, sementara PKPP akan dilaksanakan di Perlis dan Sarawak.
Pelaksanaan PKP itu dilakukan untuk tempoh 14 hari berkuat kuasa Rabu ini.
ARTIKEL BERKAITAN: PKP 2.0 libatkan enam negeri mulai 13 Januari