X

Kindly register in order to view this article
!

Jumlah mangsa banjir masih lebih 40,000 petang ini

Pemandangan dari udara sekitar bandar Chukai, Kemaman yang dilanda banjir. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jumlah keseluruhan mangsa banjir melibatkan lima negeri masih melepasi angka 40,000 orang dengan hanya Pahang terdapat sedikit pertambahan jumlah mangsa, petang ini.

Setakat jam 4 petang, sejumlah 41,216 orang berada di pusat pemindahan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Perak berbanding 43,791 mangsa pagi tadi.

Di Pahang, Temerloh kekal menjadi daerah paling teruk terjejas banjir di negeri itu dengan 11,871 mangsa daripada 3,227 keluarga masih ditempatkan di 88 pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan berkenaan.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir di Maran ialah 3,532 orang, Lipis (2,330), Pekan (2,090), Raub (1,836), Jerantut (1,630), Bera (1,442), Kuantan (1,129) dan Rompin (636 orang).

Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, ANIH Berhad, dalam kenyataan, melaporkan laluan KM126.3 antara persimpangan Chenor ke Temerloh masih belum dibuka kepada pengguna sejak ditutup pada jam 2.30 pagi Jumaat akibat banjir.

Portal infobanjir.water.gov.my pula melaporkan paras Sungai Pahang di lima lokasi masih melepasi paras bahaya iaitu di Lubuk Pasu, Temerloh; Lubuk Paku, Maran; Sungai Yap, Jerantut dan dua di Pekan iaitu Kuala Sungai Chini dan Serambi, serta Sungai Jelai di Lipis.

Di Terengganu, jumlah mangsa berkurangan kepada 10,439 orang di 53 PPS setakat jam 3 petang ini berbanding 11,804 orang pada jam 8 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi melibatkan 8,153 orang diikuti Dungun (2,198) dan 88 orang di Hulu Terengganu.

"Penduduk perlu terus berwaspada kerana amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga telah dikeluarkan berkuat kuasa sehingga 13 Januari ini.

"Dalam tempoh ini terdapat kemungkinan berlaku lagi limpahan air laut terutama semasa air pasang besar mulai esok hingga 12 Januari," katanya.

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan dua sungai di dua daerah masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman setinggi 5.53 meter (m) (paras bahaya 4m) dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau setinggi 12.84m (paras bahaya 12.5m).

Di Kelantan, jumlah mangsa dipindahkan membabitkan tiga jajahan menurun kepada 3,697 orang setakat jam 3 petang ini, berbanding 4,633 orang pagi tadi dengan 45 pusat pemindahan masih diaktifkan.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, ketika ini PPS di jajahan Gua Musang, Jeli dan Kota Bharu yang dibuka pagi tadi, telah ditutup sepenuhnya, sementara di Kuala Krai masih kekal mencatat penduduk paling ramai terjejas membabitkan 1,744 orang, diikuti Pasir Mas (1,577) dan 376 orang di Tanah Merah.

Portal infobanjir.water.gov.my pula memaklumkan setakat jam 3 petang ini, tiga sungai di Kelantan merekod bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kusial Tanah Merah setinggi 16.65m, Sungai Kelantan di Jeti Kastam (5.04 m), Sungai Golok di Rantau Panjang (10.36 m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu (2.91 m).

Di Johor, keadaan banjir semakin pulih berikutan jumlah mangsa di pusat pemindahan menurun secara mendadak kepada 485 orang daripada 129 keluarga setakat jam 4 petang ini, berbanding 1,207 mangsa daripada 305 keluarga pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan Johor, R Vidyananthan berkata, berikutan penurunan mangsa itu, sebuah daripada PPS di Kota Tinggi di Sekolah Kebangsaan (SK) Semangar ditutup pada jam 1 tengah hari, disusuli PPS terakhir di daerah Johor Bahru dan Kluang melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuo Kuang, SK Kahang Batu 28 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kahang yang ditutup kira-kira jam 2 petang tadi.

Beliau berkata, ekoran penutupan pusat pemindahan itu, hanya Kota Tinggi, Mersing dan Segamat menjadi daerah yang masih terjejas dengan sembilan tempat berkenaan masih beroperasi.

Menurutnya, di Segamat terdapat dua PPS beroperasi untuk menempatkan 89 orang daripada 24 keluarga, Mersing (lima PPS melibatkan 320 orang daripada 85 keluarga) dan Kota Tinggi (dua PPS melibatkan 76 orang daripada 20 keluarga).

“Dua jalan iaitu Jalan Haji Suhud di Johor Bahru dan Jalan Tanah Abang di Mersing juga masih ditutup ketika ini kepada semua kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Di Perak, keadaan bertambah baik apabila hanya tinggal 99 mangsa berada di dua PPS setakat jam 2 petang ini, berbanding 131 mangsa pagi tadi.

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, seramai 83 mangsa banjir di daerah Hilir Perak berada di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan manakala 16 lagi yang terjejas di Hulu Perak masih ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Perah, Gerik.

Sementara itu, PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Tanjung Aur, Bota yang dibuka sejak Khamis lalu ditutup jam 1 tengah hari ini selepas banjir pulih dan penduduk terjejas dibenar pulang ke rumah masing-masing.

Semakan di portal infobanjir.water.gov.my mendapati paras Sungai Perak di Kuala Kenderong dan Tasik Temenggor di daerah Hulu Perak serta Kampung Gajah dalam daerah Perak Tengah kini pada tahap amaran selepas masing-masing mencatat bacaan 112.45m, 247.19m dan 6.67m. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!