X

Kindly register in order to view this article
!

'Semoga ALLAH hadiahkan syurga buat Md Rajihan'

Ustaz Ebit Lew memberi kata-kata semangat kepada Khairunnisa semasa menziarahinya dan keluarga di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat, pada Jumaat. - Foto Facebook Ebit Lew
A
A

JOHOR BAHRU - Penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew sayu mendengar cerita seorang suami menyelamatkan isteri yang mengandung enam bulan dengan memecahkan cermin ketika kereta mereka hanyut dibawa arus deras semasa meredah banjir di Jalan Kluang-Kahang, Kluang malam Sabtu lalu.

Menurut Ustaz Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Liew, kisah itu diceritakan sendiri isteri mangsa, Khairunnisa Ibrahim, 24, kepada beliau semasa melawat rumah keluarganya di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat pada Jumaat.

"Mereka baru berkahwin enam bulan lalu. Ujian besar buat keluarga. Terus ke Kluang, Johor ziarah ke rumah keluarga arwah Md Rajihan Junaidi. Berjumpa isterinya, Khairunnisa dan kedua ibu bapanya. Berkongsi doa dan kata nasihat semangat.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami hanyut bersama kereta ketika redah banjir

Mayat Md Rajihan ditemui hanyut di kebun pisang

"Meninggal lemas mendapat pahala syahid. Saat akhir berusaha sedaya mungkin menyelamatkan isteri. Berjuang berkorban," tulis Ebit dalam hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Dalam kejadian berhampiran Batu 17 kira-kira jam 8 malam pada Sabtu lalu, Md Rajihan, 28, bersama-sama isterinya, Khairunnisa menaiki kereta melalui jalan tersebut yang dinaiki air.

Semasa mengharungi air banjir, isterinya berjaya keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri, manakala suaminya hanyut bersama kereta.

Menurut pihak bomba yang menemukan mayatnya dua hari kemudian, kereta berkenaan dipercayai terjunam ke dalam parit di tepi jalan tersebut dan mangsa mati lemas.

Md Rajihan merupakan korban banjir ketiga di Johor selepas seorang wanita, Halijah Majid, 59, ditemukan lemas akibat terjatuh dalam parit di Jalan Setia, Kampung Contoh, Kluang, Sabtu lalu.

Seorang penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan, Ikmal Hakimi Mahasan, 20, pula ditemukan mati lemas di Kampung Bentong, Kluang pada jam 12.20 tengah hari pada Isnin.

Kongsi Ebit Lew lagi, Khairunnisa sentiasa teringat dan masih terbayang kejadian yang meragut nyawa suaminya yang memecahkan cermin dengan kaki untuk menyelamatkannya.

"Suaminya bantu isteri agar dapat memegang pagar dawai sebelum diselamatkan. Saya beri sedikit belanja buat isteri arwah dan juga beri sedikit sumbangan buat ibu bapa beliau.

"Semoga ALLAH hadiahkan syurga firdaus buat Md Rajihan dan beri kekuatan buat Khairunnisa, ibu bapa arwah dan semua ahli keluarganya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!