X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita PKR cabar Muhyiddin benarkan PAU

Gambar kecil: Loh Ker Chean
A
A

SHAH ALAM - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu mencabar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar membenarkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) berlangsung pada akhir bulan ini tanpa sebarang helah politik termasuk wabak Covid-19.

Pengarah Komunikasi Wanita PKR, Loh Ker Chean berkata, pihaknya melontarkan cabaran itu kerana mengambil iktibar cadangan pengisytiharan darurat di seluruh negara oleh Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun lalu demi kepentingan politik peribadinya.

“Memasuki dekad baharu ini, rakyat sedia maklum akan hakikat ketidakstabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir negara.

“Kemelut persekongkolan PN yang masih tidak usai sejak tercetusnya Langkah Sheraton merencatkan usaha memerangi wabak Covid-19 sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur luar negara untuk melabur dalam negara,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dalam satu kenyataan berkata, terdapat tiga usul utama dibangkitkan UMNO Bahagian iaitu mempertahankan Muafakat Nasional (MN), memutuskan hubungan dengan Bersatu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menggesa PRU15 dibuat sebelum berakhir suku pertama tahun ini.

Mengulas lanjut, Ker Chean berkata, Muhyiddin perlu mengutamakan penyelesaian kemelut terbabit dengan menerima keputusan PAU nanti.

“Sama ada UMNO akan kekal dalam menyokong beliau atau tidak selaku Perdana Menteri dengan majoriti paling tipis dalam sejarah Malaysia.

“Malaysia telah menunjukkan teladan yang terbaik kepada dunia terutamanya negara-negara yang mendukung sistem demokrasi pada PRU14 lalu apabila peralihan kuasa yang aman dan damai berlaku dalam Malaysia,” katanya.

Beliau pada masa sama turut berharap agar Muhyiddin tidak mencontohi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang enggan memudahkan proses peralihan kuasa sehingga menyebabkan tragedi berlaku di negara berkenaan kebelakangan ini.

“Saya menyeru Perdana Menteri supaya mengizinkan peralihan kuasa berlaku dengan aman sekiranya beliau kehilangan sokongan UMNO menerusi PAU pada hujung bulan ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!