TNB buat penilaian kerugian ditanggung selepas banjir pulih

Mahdzir (kanan) membantu salah seorang pelajar mencuba pakaian sekolah pada Program Sumbangan Pakaian Sekolah Oleh Yayasan Kemiskinan Darul Aman (Yaked) di Kuala Nerang pada Sabtu.
Mahdzir (kanan) membantu salah seorang pelajar mencuba pakaian sekolah pada Program Sumbangan Pakaian Sekolah Oleh Yayasan Kemiskinan Darul Aman (Yaked) di Kuala Nerang pada Sabtu.
A
A
A

PADANG TERAP - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang membuat penilaian kerugian yang ditanggung susulan banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur dan Johor.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jangkaan awal mendapati nilai kerugian bagi kesemua negeri itu melebihi jutaan ringgit.

Bagaimanapun katanya, ia dapat dikurangkan berikutan TNB sudah mengambil beberapa inisiatif berdasarkan pengalaman banjir pada 2014.

"Kita sedang mengira jumlah kerugian di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor, sebelum ini kita ada pengalaman banjir pada 2014, jadi kita sudah tahu apa yang perlu dibuat.

"Kita buat mitigasi daripada 2014 ke 2021 contohnya peralatan dalam pencawang sebelum ini TNB pasang di atas tanah tetapi sekarang kita pasang di tempat tinggi bagi mengelak ia rosak ditenggelami banjir," katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Pakaian sekolah Oleh Yayasan Kemiskinan Darul Aman (Yaked) di Kuala Nerang di sini pada Sabtu.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu selepas banjir surut pihaknya akan membuat penilaian berhubung kerugiaan sebenar yang dialami TNB.

"Kemudian kita akan teruskan dengan kerja-kerja baik pulih untuk memastikan masyarakat menerima bekalan elektrik dengan sempurna.

"Berdasarkan tinjauan saya sebelum ini ke Pahang, kita tengok nilai kerugian mungkin banyak di negeri ini (Pahang) terutama di Temerloh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, bilik operasi TNB bersiap sedia 24 jam sehari bagi membantu memberi bekalan elektrik termasuk di pusat pemindahan mangsa banjir.

" TNB akan menutup bekalan elektrik apabila terdapat kawasan dinaiki air bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap keselamatan penduduk.

"Kita kena tutup bekalan elektrik kerana apabila air ada ia akan membahayakan orang ramai. Bagaimanapun apabila kita tutup bekalan elektrik kita akan pasang generator (genset) untuk pastikan tenaga elektrik dapat dibekalkan ke sekolah-sekolah," katanya.