Wang RM210,600 lesap terpedaya skim bantuan Covid-19

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Hasrat seorang pesara warga Vietnam mahu mendapatkan bantuan sara hidup Covid-19 melalui dana pertubuhan kebajikan tidak kesampaian malah terpaksa menanggung rugi RM210,600 selepas diperdaya scammer.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, wanita berusia 58 yang berstatus penduduk tetap di sini mengetahui mengenai skim bantuan untuk mangsa Covid 19 melalui rakannya di Facebook pada Ogos lalu.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan bahawa pertubuhan kebajikan terbabit menawarkan bantuan sehingga AS$100,000 kepada mangsa Covid-19 yang layak.

Katanya, dia berminat untuk mendapatkan bantuan itu kerana mahu membeli rumah dan perbelanjaan harian kerana suami pengadu seorang orang kurang upaya (OKU) dan tidak bekerja.

"Wanita itu melayari laman Facebook pertubuhan terbabit dan menghantar mesej untuk membuat permohonan bagi bantuan kewangan sara hidup untuk dirinya.

"Kemudian, seorang lelaki menghantar mesej ke akaun Facebook mangsa dan meminta dia mengisi borang untuk membuat permohonan skim tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Soffian berkata, mangsa kemudiannya menghantar butiran peribadi seperti gambar kad pengenalan dan maklumat akaun milik pengadu seperti diminta.

Selain itu, lelaki berkenaan turut meminta mangsa membuat pembayaran berjumlah RM8,000 bagi urusan fail, kertas kerja dan insurans untuk permohonan skim berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mengikut arahan berkenaan dengan membuat pindahan wang, namun lelaki itu terus meminta dia menjelaskan pelbagai bayaran lain dengan alasan tertentu sekiranya mahu mendapatkan bantuan sara hidup yang disediakan.

"Terpedaya dengan taktik licik lelaki itu, mangsa melakukan pembayaran sebanyak RM210,600 secara berperingkat melalui 12 transaksi ke lima akaun yang berbeza sejak 18 Ogos hingga 11 September tahun lalu," katanya.

Soffian berkata, wanita itu hanya sedar ditipu apabila dia gagal menghubungi lelaki berkenaan sebelum tampil membuat laporan polis.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua akaun bank yang digunakan sindiket ini dikesan digunakan dalam lima kes penipuan lain yang dilaporkan berlaku di Selangor, Sarawak, Perak dan Negeri Sembilan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.