Khairy sahkan vaksin Pfier diluluskan NPRA

Khairy mengesahkan KKM telah memberi kelulusan bersyarat kepada penggunaan vaksin Pfizer di negara ini pada program bual bicara di Astro Awani pada Jumaat.
Khairy mengesahkan KKM telah memberi kelulusan bersyarat kepada penggunaan vaksin Pfizer di negara ini pada program bual bicara di Astro Awani pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pendaftaran vaksin Covid-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer sudah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, KKM telah memberi kelulusan bersyarat kepada penggunaan vaksin Pfizer di negara ini.

“Saya baru sahaja terima makluman daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa kita telah menerima pendaftaran bersyarat kepada vaksin Covid-19 daripada Pfizer.

“Kita masih menunggu beberapa syarat yang kita perlu dapat daripada Pfizer dari segi maklumat.

“Ini bermaksud, dengan pendaftaran bersyarat ini, vaksin Covid-19 daripada Pfizer boleh digunakan di Malaysia,” katanya dalam rancangan temu bual, Consider This di Astro Awani pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kerajaan sudah memaklumkan perkembangan tersebut kepada Pfizer bagi membolehkan Malaysia menerima vaksin Covid-19 daripada syarikat itu.

“Sekarang ini kita boleh maklumkan kepada Pfizer kita bersedia menerima vaksin Covid-19 yang dijangka sampai di Malaysia pada Februari.

“Saya masih lagi nak memuktamadkan bila dalam bulan Februari yang kita akan terima (vaksin),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, penghantaran vaksin ke Malaysia masih tertakluk kepada jadual penghantaran Pfizer.

“Ini cuma satu kekhuatiran sebab kita risau proses kelulusan ini mengambil masa tetapi dengan kecekapan NPRA dan kakitangan KKM, kelulusan diberikan sangat cepat," katanya.

Dalam pada itu, Khairy sekali lagi memberi jaminan bahawa penggunaan vaksin tersebut adalah selamat dan berkesan.

“Ini bukan sahaja membolehkan kita memulakan pelan vaksinasi tetapi mengesahkan vaksin ini selamat dan berkesan.

“Saya ucapkan tahniah kepada pihak NPRA dan KKM kerana mempercepatkan kelulusan vaksin Covid-19 daripada Pfizer.