Empat penjaja di lampu isyarat disaman

Tular di FB Ops Penjaja Jalanan dan empat individu ditahan. Foto: Ihsan pembaca
Tular di FB Ops Penjaja Jalanan dan empat individu ditahan. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

TAIPING - Seramai empat penjaja disaman dalam Ops Penjaja Jalanan di dua lokasi persimpangan lampu isyarat di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, saman itu dikeluarkan selepas individu berusia 18 hingga 22 tahun itu tidak mengendahkan nasihat yang diberikan polis.

“Pemantauan dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping selepas menerima beberapa aduan daripada orang awam dan didapati penjaja tersebut menjual dari kereta ke kereta dengan cara mengetuk tingkap.

“Anggota bertugas telah memberi nasihat dan memaklumkan bahawa aktiviti mereka adalah salah di bawah Rule 10A(1) LN 166/59 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000,” katanya.

Menurutnya, amaran dan nasihat secara berterusan telah diberikan sejak Oktober tahun lalu dan aktiviti itu perlu dibendung bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini yang boleh membahayakan nyawa penjaja dan orang ramai.

“Pemantauan berkaitan aduan awam terhadap penjaja yang mengganggu lalulintas itu akan terus dijalankan dari masa ke masa di sekitar lokasi terlibat.

“Sekiranya nasihat atau teguran masih tidak diendahkan, pihak polis akan mengambil tindakan lebih tegas termasuk mengeluarkan saman,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar berkaitan operasi tersebut yang dimuat naik Facebook Polis Daerah Taiping.

Artikel Berkaitan:

Tindakan itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen termasuk menyokong tindakan itu dan ada sebahagiannya meminta polis untuk bertolak ansur.