X

Kindly register in order to view this article
!

PM perlu jiwa besar dengan meletak jawatan: Mahfuz

Mahfuz (lima dari kanan) menyepak bola sebagai gimik merasmikan Akademi Bola Sepak Faizal Abu Bakar (FAB) di Taman Bandar Baru, Pokok Sena pada Jumaat.
A
A

POKOK SENA - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyarankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan kerana didakwa tidak memiliki sokongan UMNO semasa mesyuarat majlis tertinggi parti itu baru-baru ini.

Menurutnya, beliau senada dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan Muhyiddin meletak jawatan berikutan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini dilihat semakin tidak kukuh.

Beliau berkata, desakan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilakukan sebelum berakhir suku pertama 2021 seperti dituntut oleh UMNO juga bukan pilihan terbaik berikutan penularan pandemik Covid-19 semakin meningkat.

MAHFUZ
MAHFUZ

"Jika benar Muhyiddin meletakkan kepentingan negara di depan, beliau perlu sedia berkorban. Ketika ini beliau jelas tidak mendapat sokongan parti yang sama-sama mendirikan kerajaan sedia ada.

"Dengan cara itu, kita serahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menentukan individu mendapat sokongan terbanyak ahli Parlimen bagi menjadi Perdana Menteri," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Akademi Bola Sepak Faizal Abu Bakar (FAB) di Taman Bandar Baru di sini pada Jumaat.

Mahfuz berkata, UMNO semasa mesyuarat majlis tertinggi parti juga membawa usul untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi PRU15.

Menurutnya, jika Muhyiddin berjiwa besar dengan melepaskan jawatan, seluruh ahli Parlimen perlu berlapang dada untuk menerima apa jua keputusan Yang di-Pertuan Agong selepas itu.

"Apa yang penting ialah kita dapat menyelamatkan negara tanpa perlu mengadakan pilihan raya umum dalam keadaan sekarang," katanya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak agar PRU15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Beliau berkata, lebih 30 negara di dunia sudah mengadakan pilihan raya dalam keadaan berdepan penularan Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!