X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO ulangi pendirian tiada kerjasama dengan Anwar dan DAP

Shahril Sufian Hamdan
A
A

SHAH ALAM - UMNO mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa tiada kerjasama membabitkan parti itu dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, sehingga kini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) meneruskan kelangsungan keputusan dasar parti yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2019.

“Selagi dasar itu tidak diubah, seluruh saf kepimpinan masih berpegang kepada keputusan tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyatakan bahawa UMNO kini bersiap untuk bekerjasama dengan DAP untuk membentuk kerajaan baharu.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut menyatakan terdapat surat dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi UMNO yang menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Mengulas lanjut, Shahril turut menyatakan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berkali-kali mengatakan bahawa beliau tidak akan menjalin kerjasama dengan DAP.

Katanya, Ahmad Zahid berkata demikian dalam majlis terbuka dan tertutup di hadapan kepimpinan parti pelbagai peringkat termasuklah pada baru-baru ini.

“Jika UMNO mahu menjalinkan kerjasama dengan DAP, ia mempunyai peluang sewaktu pertukaran Menteri Besar di Perak. Perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Menurutnya, dakwaan bahawa terdapat percubaan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga tidak tepat memandangkan sepanjang proses undian untuk Belanjawan 2021, ahli-ahli Parlimen UMNO mendukung dan meluluskannya di setiap bacaan dan setiap peringkat.

“Dukungan dan undian tersebut tetap dizahirkan meskipun dalam hal tertentu jelas terdapat ketidakpuasan hati daripada pihak UMNO berhubung pelbagai isu baik dari segi pertalian politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahupun dalam soal dasar kerajaan.

“Maka, jelas sekali selama ini UMNO mendukung kerajaan PN demi kemaslahatan rakyat dan negara yang masih dilanda ancaman wabak Covid-19,” tegasnya.

Mengulas mengenai kepimpinan Ahmad Zahid yang didakwa ‘flip flop’ dalam keputusan berhubung Muafakat Nasional (MN), Shahril berkata, barisan kepimpinan parti itu menegaskan bahawa mereka sentiasa konsisten mahu memperkasa MN dan mengukuhkan pertalian bersama Pas tanpa UMNO menjadi ahli komponen PN.

“Pendirian ini tegas, jelas dan konsisten sepanjang masa,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!