X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir Kelantan makin buruk, Kota Bharu mula dinaiki air

Laluan Kampung Kijang menghala ke Kedai Buloh ditenggelami air sedalam 0.35 meter pada Jumaat. - FOTO ROSMIZA KASIM
A
A

KOTA BHARU - Keadaan banjir di Kelantan pada Jumaat bertambah buruk dengan lebih 6,000 penduduk dipindahkan, manakala Kota Bharu menjadi kawasan terbaharu dinaiki air.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga jam 8.30 pagi, seramai 6,354 mangsa membabitkan 1,742 keluarga telah dipindahkan.

Menurut kenyataan itu, kesemua mangsa ditempatkan di 75 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang, Jeli dan terbaharu di Kota Bharu.

Sebagaimana diramalkan, Kota Bharu mula dinaiki air lewat malam Khamis dan satu PPS telah diaktifkan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sireh.

Keadaan di Kampung Kijang, Kota Bharu yang mula dinaiki air pada Jumaat. - FOTO ROSMIZA KASIM
Keadaan di Kampung Kijang, Kota Bharu yang mula dinaiki air pada Jumaat. - FOTO ROSMIZA KASIM

Berdasarkan laporan aplikasi sama, pada jam 11.13 malam Khamis, seramai 13 mangsa kumpulan pertama membabitkan lapan keluarga telah ditempatkan di SK Kampung Sireh.

Jumlah terkini pada pagi Jumaat pula, angka mangsa dipindahkan sudah bertambah kepada 22 orang dengan 16 keluarga berada di PPS sama.

Sementara itu, perkembangan di jajahan lain pula menunjukkan Kuala Krai mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 3,063 mangsa terdiri daripada 783 keluarga ditempatkan di 35 PPS.

Mangsa paling ramai dari jajahan itu dipindahkan ke SK Banggol Guchil dengan 337 mangsa membabitkan 97 keluarga.

Jajahan kedua ramai adalah di Pasir Mas dengan mangsa bertambah kepada 1,514 orang berbanding tengah malam Khamis hanya 1,496 penduduk diselamatkan.

Di Jajahan Pasir Mas juga menunjukkan Pekan Rantau Panjang masih lagi lumpuh ditenggelami banjir berikutan limpahan Sungai Golok yang melepasi paras bahaya.

Seterusnya, di Tanah Merah juga mangsa bertambah kepada 637 orang dan kesemua 169 keluarga itu ditempatkan di 13 PPS.

Di Jeli pula seramai 609 mangsa terdiri daripada 172 keluarga masih berada di tiga PPS terpilih.

Begitu juga di Gua Musang, seramai 515 mangsa membabitkan 113 keluarga telah dipindahkan ke enam PPS.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!